KUALA LUMPUR 27 Nov.- Seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera manakala jentera dinaiki turut mengalami kerosakan akibat diserang kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Maha Mariammam, USJ 25 dekat sini awal pagi tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, anggota berkenaan diserang apabila pasukannya tiba di lokasi selepas mendapat maklumat sebuah kereta terletak di luar kuil terbakar.

“Anggota yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS itu ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.
“Serangan itu juga turut menyebabkan pintu belakang tercabut, keempat-empat tayar jentera pecah selain kerosakan lain pada bahagian badan jentera dipercayai dipukul objek keras,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut jurucakap itu lagi, susulan serangan tersebut pasukan bomba tidak dapat memadamkan kenderaan dan anggota di lokasi kejadian diselamatkan beberapa orang awam ketika kejadian berlaku.
“Anggota yang cedera kini mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










