SEREMBAN – Suasana di Hospital KPJ Seremban di sini gempar seketika hari ini berikutan satu ancaman bom yang diterima hospital itu kira-kira pukul 5 petang tadi.
Petugas, pesakit dan orang ramai yang berada di situ diarahkan meninggalkan bangunan berkenaan serta merta oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, pemeriksaan keatas bangunan tersebut sehingga pukul 7.15 petang tadi tidak menemui sebarang bom di hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pihak polis melakukan pemeriksaan terperinci di hospital itu selama beberapa jam.
“Siasatan kami mendapati tiada bom seperti yang didakwa melalui panggilan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, terdapat 117 pesakit, 169 kakitangan dan lima pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) ketika kejadian.
Menurut beliau, kesemua mereka diminta meninggalkan bangunan itu kecuali pesakit ICU yang dijaga oleh enam jururawat.
“Pihak bomba membantu kesemua pesakit kembali ke wad masing-masing selepas diberi kebenaran oleh pihak polis,” katanya.
Kata beliau, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis pada pukul 5.08 petang dan seramai 20 pegawai serta anggota bersama empat jentera dikerahkan memberi bantuan.
Tambah beliau, pasukan bomba yang tiba di Hospital KPJ Seremban kira-kira 17 minit kemudian diminta bersiap sedia jika berlaku letupan atau perkara lain yang tidak diingini.
Jelas beliau, seramai 20 pegawai dan anggota terlibat dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dan Seremban 2.
“Kami kesal dengan kejadian ini kerana menyusahkan ramai pihak terutama pesakit-pesakit di hospital itu,” katanya. – K! ONLINE










