KUALA NERUS – Anak seorang pengawal keselamatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu yang juga merupakan seorang pendebat bahasa Arab dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-10 di sini hari ini.
Muhamad Amir Zainudin, 24, yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab dengan catatan Purata Nilai Gred Kumulatif 3.81 ketika ditemui melahirkan rasa syukur dengan anugerah itu dan turut berazam untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).
Menurut anak kelahiran Kuala Terengganu itu, kejayaan yang diperolehinya itu bukanlah alasan untuk mendabik dada tetapi dijadikan sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya pada masa akan datang.
“Saya dedikasikan anugerah yang diterima buat kedua ibu bapa yang selama ini sanggup bekerja keras demi menyediakan segala keperluan kami lima beradik.
“Walaupun berasal daripada keluarga yang susah tetapi ia bukan halangan untuk saya mencapai kejayaan dan seterusnya mengejar impian bergelar seorang pensyarah satu hari nanti,” katanya kepada pemberita selepas menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Konvokesyen UniSZA Ke-10 di sini hari ini.
Selain Muhamad Amir, Ong Ying Qian, 24, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Dietetik turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja itu yang disampaikan oleh Canselor UniSZA, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Seramai 2,836 graduan menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen tersebut yang berlangsung hari ini sehingga Isnin. – K! ONLINE










