PULAU PINANG 19 Nov. – Pergaduhan sepasang suami isteri akibat salah faham bertukar tragedi apabila si isteri maut dipukul dengan rak penyidai kain oleh suaminya dalam kejadian di Air Itam, di sini semalam.
Lebih malang, si suami yang merupakan seorang guru berusia 42 tahun hanya menyedari isterinya meninggal dunia selepas semalaman meninggalkan isterinya dalam keadaan cedera dan berlumuran dadah di rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pasangan suami isteri itu pada mulanya terlibat dalam pertengkaran kira-kira pukul 10 malam tadi sehingga suspek bertindak memukul isterinya yang berumur 39 tahun.
Katanya, selepas kejadian itu, suspek meninggalkan isterinya yang cedera di bahagian kanan muka dan pulang ke rumah ibu bapanya di Kulim, Kedah.
Bagaimanapun, tambahnya, selepas pulang semula ke rumahnya pukul 11 pagi ini, suspek mendapati isterinya masih terlantar dan tidak sedarkan diri sebelum menyerah diri kepada polis di Kulim.
“Siasatan mendapati mangsa cedera di bahagian kanan kepala, kening sebelah kanan, telinga sebelah kiri dan luka di atas kening sebelah kiri.
“Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) kemudiannya mengesahkan mangsa maut akibat dipukul objek tumpul,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Menurut Che Zaimani, punca kejadian dipercayai akibat salah faham antara kedua-dua suami isteri berkenaan dan mereka yang sudah berkahwin kira-kira 10 tahun lalu juga tidak mempunyai anak.
Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











