BANGKOK 19 Nov. – Seramai 73 orang rakyat Myanmar yang menjadi mangsa penyeludupan manusia di negara ini telah kembali ke negara asal.
Kesemua mangsa yang diselamatkan oleh pihak berkuasa awal tahun ini, disambut dalam satu majlis di bandar Myawaddy yang terletak di seberang Sungai Moei, Myanmar dari daerah sempadan Thailand, Mae Sot.
Pemangku Pesuruhjaya Biro Imigresen Thailand, Mejar Jeneral Surachate Hakparn memberikan bantuan bernilai AS$4,424 (RM18,536) ketika majlis berkenaan.
Surachate berkata pihaknya akan terus membasmi pemerdagangan manusia dan hanya akan menerima pekerja asing yang sah di bawah memorandum persefahaman antara Thailand serta Myanmar. – BERNAMA











