KUALA LUMPUR 27 Nov. – Sebanyak 48 kes kematian direkodkan akibat keracunan metanol atau samsu haram sepanjang tahun ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, kes kematian itu adalah daripada 97 kes keracunan metanol atau samsu haram direkodkan dalam tempoh sama.
“Kementerian bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut perundangan dan bidang kuasa masing-masing bagi membanteras penjualan arak haram,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini ketika menjawab soalan tambahan daripada Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang bertanyakan statistik keracunan arak di Malaysia.
Pada masa sama Boon Chye berkata, kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau apa yang ditularkan dalam media sosial untuk mengambil tindakan sekiranya didapati ada pihak melanggari Akta Makanan 1983.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) tentang adakah kerajaan akan membenarkan lagi kaedah promosi arak seperti dalam video tular seorang lelaki mengganggu jurujual minuman beralkohol di sebuah pasar raya baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE










