KUALA TERENGGANU 6 Nov. –Musim tengkujuh sudah tiba memaksa sekumpulan 40 penduduk dari 12 kawasan rendah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir Kampung Seberang Pintasan, Dungun setelah kediaman mereka ditenggelami air kira-kira 0.5 meter.
Mereka berpindah pagi ini kerana bimbang kemungkinan air terus naik jika hujan berterusan yang diburukkan dengan sistem pengairan yang tersumbat dan air pasang pada waktu malam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Banjir daerah, Osman Bakar ketika ditemui berkata, air mula memasuki kediaman penduduk sekitar tengah malam tadi dan beliau menjangkakan akan berlaku penambahan mangsa banjir sekiranya hujan lebat malam ini.
Sementara itu, penduduk di kawasan berisiko banjir di negeri ini diingatkan agar tidak terus bersikap ‘tunggu dan lihat’, sebaliknya perlu segera berpindah jika dinasihatkan berbuat demikian dalam keadaan cuaca yang buruk.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, langkah itu bagi mengelak terperangkap dalam kecemasan jika paras air men jadi kritikal dan menyukarkan kerja menyelamat.
“Dalam masa sama kita meminta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) memainkan peranan penting bersama agensi-agensi kerajaan dan pejabat daerah dalam mempercepatkan proses perpindahan.
“MPKK memainkan peranan penting bersama agensi kerajaan dan pejabat daerah bagi percepatkan proses pemindahan. Berpindah awal sebelum air naik ke paras kritikal,” ujarnya di sini hari ini.
Sementara itu, skuad sukarelawan Terengganu yang terdiri daripada gabungan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan digerakkan dalam masa terdekat bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, buat masa ini segala perbincangan, kursus dan perjumpaan dari semasa ke semasa telah diadakan dengan kumpulan terbabit bagi menyelaras gerak kerja banjir agar lebih efisen dan bersistematik.










