23 penduduk terperangkap banjir diselamatkan - Utusan Malaysia

23 penduduk terperangkap banjir diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 19 Nov. – Sebanyak 23 penduduk di Kampung Pengkalan, Jalan Keretapi Lama di sini yang terperangkap dalam banjir awal pagi ini, berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), hari ini.

Kesemua mereka diselamatkan kira-kira pukul 11.30 pagi tadi oleh sepasukan anggota JBPM Alor Gajah selepas kediaman mereka dinaiki air hingga ke paras bumbung ekoran hujan lebat sejak awal pagi.

Difahamkan, terdapat beberapa penduduk enggan dipindahkan ke pusat pemindahan banjir namun atas faktor keselamatan, mereka akhirnya bersetuju untuk berpindah selepas dipujuk pihak bomba.

Menurut jurucakap JBPM Alor Gajah, pihaknya terpaksa menggunakan tali penyelamat sebagai peralatan keselamatan bagi mengelak dihanyutkan arus deras di beberapa kawasan.

“Kedalaman air yang dianggarkan lebih satu meter itu turut menyukarkan kerja-kerja menyelamat dilakukan namun kesemua mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, sebanyak 73 mangsa daripada 18 keluarga telah dipindahkan ke empat pusat pemindahan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Jelatang, Balai Raya Gadek, SK Lesung Batu dan Balai Raya Kampung Panchor.

“Sebanyak 15 buah kampung terjejas akibat banjir di sekitar Alor Gajah pagi ini antaranya Kampung Gadek, Kampung Padang Sebang, Kampung Bukit Mechat, Paya Datuk dan Kampung Pengkalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×