Zii Jia mara ke separuh akhir Terbuka Taiwan - Utusan Malaysia

Zii Jia mara ke separuh akhir Terbuka Taiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meneruskan aksi cemerlang apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan di Taipei, semalam.

Zii Jia yang diletakkan selaku pemain bukan pilihan pada kejohanan itu, menewaskan Ajay Jayaram dari India; 21-16 dan 21-9 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Taipei Arena, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfworldtour.bwfbadminton.com.

Bekas pemain kebangsaan yang juga pilihan kelapan, Chong Wei Feng, bagaimanapun tersingkir pada kejohanan menawarkan hadiah wang tunai AS$500,000 (RM2.076 juta) itu selepas tumpas 15-21 dan 11-21 kepada pemain kurang ternama dari Jepun, Riichi Takeshita dalam satu lagi aksi suku akhir.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemain perseorangan wanita negara yang juga pilihan ketujuh, Soniia Cheah Su Ya juga berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat pemain terbaik apabila mengejutkan pilihan keempat, Pai Yu Po dari Taiwan; 21-19 dan 21-18.

Pasangan beregu campuran kebangsaan yang juga pilihan ketiga, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei turut menempat slot ke separuh akhir apabila menumpaskan pilihan keenam, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia; 17-21, 21-12 dan 23-21.

Cabaran Malaysia dalam acara beregu lelaki, bagaimanapun berakhir apabila Aaron Chia Teng Fong-Soh Wooi Yik yang merupakan pilihan keenam, kalah 13-21, 21-17 dan 16-21 kepada pilihan utama, Chen Hung Ling-Wang Chi Lin dari Taiwan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini