PULAU PINANG 19 Okt. – Selepas tragedi tanah runtuh di tapak pembinaan Tanjung Bunga yang mengorbankan 11 nyawa pada 21 Oktober tahun lalu, satu lagi kemalangan serupa berlaku di Bukit Kukus, Relau, di sini hari ini.
Video oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
Dalam tragedi pada kira-kira pukul 2 petang itu, seramai 13 pekerja pembinaan lebuh raya yang tinggal dalam kontena dijadikan rumah mereka dihempap tanah runtuh.
Kejadian itu berlaku kira-kira 100 meter dari tapak 14 rasuk yang runtuh akibat dipukul angin kuat minggu lalu yang merupakan sebahagian daripada projek sama.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Moktar, ketika kejadian, pekerja berkenaan dikatakan berehat dalam enam kontena serta beberapa pondok kayu di lokasi kejadian.
Tambahnya, runtuhan tanah itu turut menyebabkan rumah kontena didiami pekerja berkenaan menggelongsor sejauh 50 meter dengan ada yang tertimbus tanah sedalam lima meter.
Ujarnya, setakat pukul 7 malam ini, dua mayat sudah dibawa keluar dari lokasi kejadian manakala seorang lagi pekerja mengalami patah kaki dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
Katanya, berdasarkan keterangan saksi, dua warga Indonesia dan seorang warga Myanmar masih tertimbus.
“Selain itu, kita juga dimaklumkan kira-kira tujuh lagi mangsa terbabit dalam kejadian ini, namun maklumat itu hanya berdasarkan percakapan rakan-rakan mangsa menjadikan jumlah keseluruhan ialah 13 orang,” katanya di sini hari ini.
Menurut Saadon, ketika ini, kerja-kerja mencari dan menyelamat diteruskan sehingga keadaan cuaca mengizinkan dengan bantuan seramai 145 anggota daripada pelbagai jabatan.
Selain itu, pihaknya turut mendapat bantuan unit Pasukan Khas Operasi Taktikal dan Penyelamat (STORM) dari Perlis dan Kedah serta unit pengesan anjing K9.
Video oleh AZMAN ASMAYATIM
“Kita berhadapan kesukaran menjalankan kerja-kerja menyelamat berikutan struktur tanah serta kawasan mencabar dan ketika ini kita perlu menambah beberapa aset menyelamat lain seperti kren dan sebagainya,” katanya.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tapak projek tersebut sudah diberikan arahan pemberhentian kerja ekoran kejadian rasuk runtuh minggu lalu dan pihak berkuasa sepatutnya mendapat laporan termasuk usaha mitigasi di lokasi kejadian hari ini.










