IPOH 24 Okt. – Pengendali Perak, Mehmet Durakovic menghormati Terengganu yang disifatkannya sebagai lawan sukar dalam perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini kerana memiliki kombinasi pemain import dan tempatan yang amat baik.
Menurutnya, begitupun pasukan Perak juga dibarisi pemain yang bagus sekali gus menjadikan pertembungan akhir di Stadium Shah Alam itu nanti bakal menjadi pertembungan yang seimbang dan menarik.
Jelasnya, pasukan yang kurang melakukan kesilapan akan membawa pulang Piala Malaysia dan perkara itu akan menjadi keutamaannya dalam sesi latihan pasukannya yang bermula hari ini.
“Saya menghormati Terengganu atas pencapaian mereka musim ini. Ini adalah perlawanan akhir, tidak semua pasukan dapat layak ke perlawanan akhir, jadi apabila berada dalam final sudah tentu kami mengharapkan yang terbaik.
Video Oleh SYEFRI MONIZ
“Kurangkan kesilapan, fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan pasukan mana yang lebih fokus akan memenangi perlawanan kerana tidak banyak perbezaan di antara kedua-dua pasukan,” katanya selepas sesi latihan di Stadium Perak di sini hari ini.
Menurut Mehmet, perlawanan akhir Sabtu ini seimbang berdasarkan rekod pertembungan kedua-dua pasukan dalam liga musim ini apabila Terengganu menewaskan Perak di Ipoh tetapi Bos Gaurus membalasnya di Kuala Terengganu.
Sementara itu, Mehmet mengakui beberapa pemain utamanya mengalami kecederaan dan tanpa menamakan pemain terbabit, dia yakin mereka sempat pulih untuk perlawanan Sabtu ini.
Katanya, sesi latihan selama dua hari sebelum perlawanan akhir akan digunakan untuk menilai keadaan kecederaan dan kecergasan pemain berkenaan.
“Hari ini merupakan hari pertama pemain menjalani latihan selepas aksi separuh akhir kedua menentang Sabah Ahad lalu dan hari ini fokus lebih kepada proses pemulihan pemain.
“Corak latihan lebih keras akan dilalui oleh pemain dalam sesi latihan berikutnya supaya mereka dapat bersedia sepenuhnya untuk perlawanan Sabtu ini,” katanya.










