KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menjadikan ucapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 sebagai kerangka asas dasar luar Malaysia.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah ketika menggulung usul berkenaan menjelaskan ucapan Mahathir pada 28 September lepas di New York sememangnya telah dirancang untuk dibahas di Parlimen sebelum dijadikan haluan kepada dasar luar negara.
“Ucapan ini diangkat menjadi asas dasar luar kerana kita kerajaan baharu dan kita harus bentangkan satu kerangka dasar luar, tidak bermakna setiap kali ucapan Perdana Menteri akan diangkat ke dewan ini,” katanya.
Mahathir dalam ucapan berkenaan antara lain menyentuh kedudukan dan dasar luar negara yang berteraskan prinsip seperti tidak berpihak kepada mana-mana kuasa, berkecuali dan mengamalkan falsafah memakmurkan jiran, selain memberi penekanan kepada hubungan Malaysia dengan kuasa-kuasa besar dunia, isu Palestin dan Rakhine serta perang dagangan antara negara-negara kuasa ekonomi.
Saifuddin menegaskan bahawa pihak kerajaan tidak menafikan dasar luar yang telah wujud sebelum ini seperti didakwa beberapa Ahli Parlimen pembangkang ketika membahaskan usul berkenaan. – Bernama










