Tukang jahit maut motosikal bergesel dengan sebuah kenderaan - Utusan Malaysia

Tukang jahit maut motosikal bergesel dengan sebuah kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seorang tukang jahit maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah kenderaan dalam satu kejadian di Jalan Meru Tambahan di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa, Bustami Ali Mudin, 61, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari kedai jahitnya di Jalan Batu 8, menghala ke Pekan Meru untuk ke kedai makan.

“Setibanya di lokasi kejadian motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangi mangsa telah bergesel dengan sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti jenisnya.

“Akibatnya, motosikal tersebut hilang kawalan sebelum mangsa tercampak ke atas jalan raya. Mangsa mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mazelan berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini untuk dibedah siasat.

“Proses bedah siasat selesai kira-kira pukul 6.30 petang tadi dan mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarga,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkannya terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di talian 03-3921 2222 atau pegawai penyiasat Inspektor Abdul Azim Mazlan di talian 016-7086 161.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN