WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin menuduh China menganggap bahawa rakyat Amerika ‘bodoh’ dan berjanji akan mengenakan ‘kesakitan ekonomi’ terhadap kuasa besar Asia itu.
“Secara jujurnya, saya fikir mereka (China) berfikiran bahawa rakyat AS bodoh. Rakyat Amerika bukannya orang bodoh,” kata Trump dalam program bual bicara Fox and Friends.
Trump berkata, tarif AS$250 bilion (RM1 trilion) yang dikenakan terhadap produk China telah ‘memberikan impak besar’.
“Ekonomi mereka merosot dengan sangat ketara. Banyak lagi perkara yang saya boleh lakukan jika saya mahu melakukannya. Saya tidak mahu melakukannya tetapi mereka (China) perlu duduk di meja rundingan,” katanya.
Trump memberi tekanan terhadap China supaya menambah baik syarat perdagangan untuk produk AS dan menamatkan aktiviti mencuri harta intelek firma AS.
China bertindak balas dengan mengenakan tarif serupa. Bagaimanapun, Trump menganggap tindakan Beijing itu sebagai cubaan campur tangan dalam politik AS kerana Beijing menyasarkan produk dari negeri-negeri penting menjelang pilihan raya Kongres bulan depan.
Sementara itu, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memetik perang perdagangan itu ketika ia merendahkan unjuran pertumbuhan China pada 2019 kepada terendah sejak tahun 1990.
IMF juga menurunkan unjuran pertumbuhan AS dan ekonomi global untuk tahun hadapan.
Trump memperbaharui tuduhannya bahawa mantan Presiden AS, Barack Obama dan George W. Bush ‘membiarkan sahaja China sehingga di luar kawalan’.
“Kami tidak akan membayar AS$500 bilion (RM2.07 trilion) setahun kepada China dan membina semula China,” kata Trump, merujuk kepada jumlah import tahunan barangan China ke AS.
“Kami telah membantu membinanya semula. Saya kata ia sudah berakhir,” tambahnya. – AFP
AP
GAMBAR fail bertarikh 9 November 2017 menunjukkan Trump bersama Presiden China, Xi Jinping ketika beliau mengadakan lawatan rasmi ke Beijing.











