HASRAT sekumpulan pekerja untuk menyaksikan pertunjukan bunga api dengan menaiki sebuah feri berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila seramai 39 orang terkorban apabila feri persiaran yang membawa mereka tenggelam selepas bertembung dengan sebuah feri lain di Hong Kong pada 1 Oktober 2012.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam berhampiran Pulau Lamma, Hong Kong itu, kesemua mangsa yang terkorban termasuk lapan kanak-kanak merupakan penumpang feri Lamma IV yang disewa syarikat Hong Kong Electric.
Syarikat utiliti berkenaan menyewa feri berkenaan bagi membolehkan pekerja dan ahli keluarga mereka menyaksikan pertunjukan bunga api di kawasan Victoria Harbour sempena cuti Hari Kebangsaan China.
Seramai 121 penumpang dan tiga kru dikatakan berada di atas feri Lamma IV ketika kejadian berlaku.
Menurut salah seorang mangsa yang terselamat, Ivan Lee, 47, ketika kejadian, dia bersama isteri serta dua anak mereka yang masih kecil merupakan antara penumpang yang berada di dalam feri Lamma IV.
Ceritanya, ketika dalam pelayaran, mereka dikejutkan dengan bunyi dentuman dan gegaran yang kuat akibat perlanggaran.
“Dalam tempoh kurang seminit selepas perlanggaran, feri mula condong sehingga mengakibatkan meja dan kerusi di dalam kapal mula menggelongsor,” katanya
Tenggelam
Cerita Ivan lagi, air laut kemudian mula memasuki ke dalam feri menyebabkan penumpang bergegas memakai jaket keselamatan.
“Semasa memakaikan jaket keselamatan pada badan anak saya, badan kami telah mula ditenggelami air.
“Ketika ini, saya berasa bimbang kesemua kami gagal menyelamatkan diri dan akhirnya terkorban,” katanya.
Jelas Ivan, dia bagaimanapun bersyukur apabila isteri dan dua anaknya terselamat.
“Kami semua terselamat apabila berjaya keluar menerusi tingkap sebelum diselamatkan bot penyelamat,” tambahnya.
Feri malang berkenaan kemudiannya karam dalam tempoh tidak sampai 10 minit menyebabkan terdapat mangsa yang gagal menyelamatkan diri dan terperangkap di dalamnya.
Sementara itu, sebuah lagi feri yang terlibat dalam pelanggaran tersebut, Sea Smooth selamat berlabuh di salah sebuah jeti di Pulau Lamma selepas kejadian.
Bagaimanapun, terdapat kesan lubang besar pada bahagian kiri feri berkenaan.
Feri itu dipercayai belayar dari Hong Kong ke Pulau Lamma apabila pelanggaran berlaku berdekatan destinasinya, sekali gus sempat menurunkan penumpang sebelum ia dipenuhi air.
Kapten bersalah
Pesuruhjaya Polis Hong Kong, Tsang Wai-hung memberitahu, tujuh kru daripada kedua-dua feri tersebut ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan berkenaan.
Mereka kemudian ditahan kerana mendatangkan bahaya kepada nyawa orang lain di lautan serta bertanggungjawab terhadap operasi kedua-dua buah feri itu ketika kejadian.
Hakim sebuah mahkamah di Hong Kong, Brian Keith dalam penghakimannya mendapati kapten feri Sea Smooth, Lai Sai-ming, 56, bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat 39 penumpang feri Lamma IV dalam pelanggaran dengan feri yang dipandunya berhampiran Pulau Lamma pada 2012.
Pada bulan Februari 2015, Sai-ming dijatuhi hukuman penjara lapan tahun setelah didapati bersalah membahayakan keselamatan orang lain ketika di laut.
Sementara jurumudi feri Lamma IV, Chow Chi-wai, 58, dibebaskan daripada kesemua 39 pertuduhan membunuh tanpa niat.
Dia bagaimanapun didapati bersalah atas satu pertuduhan membahayakan keselamatan orang lain ketika di laut dan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan.
Pelayaran feri Lamma IV ke Victoria Harbour berakhir tragedi menyayat hati selepas berlanggar dengan feri Sea Smooth dekat Pulau Lamma.










