ALOR SETAR – Seramai 49 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan (PP) di Baling dekat sini ekoran banjir kilat yang melanda sejak malam tadi.
Pegawai Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Lefternan Mohd. Faizol Ab Aziz berkata, kejadian membabitkan lima kampung di mukim Siong dan dua di mukim Bongor.
“Antara kampung terlibat ialah Kampung Lalang, Kampung Siput, Kampung Chenerai, Kampung Jenalik dan Kampung Banggol Derom,” katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, seramai 20 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di Dewan Komuniti Kampung Banggol Derom yang dibuka pada pukul 10.40 malam tadi.
Dewan Orang Ramai Batu 48 yang dibuka pada pukul 2 pagi tadi menempatkan 22 mangsa daripada tujuh keluarga manakala di Surau Kampung Lahar pula terdapat tujuh mangsa daripada tiga keluarga.
Sementara itu, arus deras menyebabkan bahagian dapur rumah seorang penduduk di Kampung Lalang turut roboh.
Mohd. Faizol berkata pihaknya kini memantau situasi semasa banjir dan akan memindahkan mangsa yang terjejas jika keadaan membahayakan keselamatan penduduk. – Bernama











