IPOH 14 Okt. – Penyediaan sudut khas merokok di restoran tidak berhawa dingin tidak seharusnya digalakkan biarpun terdapat permintaan daripada pengusaha disebabkan amalan tersebut membahayakan kesihatan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berpandangan, hasrat kementerian untuk menjaga kesihatan rakyat diharap dapat difahami, justeru pihaknya akan terus mengadakan perbincangan dengan pengusaha terlibat.
“Secara prinsipnya, walaupun kita rasa perokok itu ada hak (untuk merokok) tetapi yang tidak merokok pun ada hak untuk berada dalam keadaan bebas asap rokok.
“Bagi perokok, mereka ada pilihan lain untuk menahan ketagihan seperti menggantikan nikotin dengan gula-gula getah dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program gotong-royong membasmi denggi di Padang Medan Pengkalan Mutiara di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas cadangan pengusaha untuk menyediakan ruang khas merokok selepas Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di seluruh negara termasuk warung tepi jalan berkuat kuasa 1 Januari depan.
Mengulas mengenai 83 kes keracunan makanan di Baling, Kedah yang menyebabkan dua maut, Boon Chye berkata, pihaknya mempunyai bukti kukuh bahawa kejadian itu berpunca daripada pengusaha laksa tersebut.
Beliau berkata, tindakan boleh diambil di bawah Akta Makanan 1983 selepas keputusan ujian sampel makanan dijangka diperoleh selewat-lewatnya Selasa ini.
“Kita buat analisis dan nampak ada kuman dalam sampel tersebut tetapi jenis kuman itu kita perlu tunggu sedikit masa untuk kenal pasti,” katanya.











