KUALA LUMPUR 12 Okt. – Kerajaan Negeri Terengganu menafikan negeri tersebut akan mengadakan pesta arak Oktoberfest seperti yang ditularkan di media sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman berkata, Kerajaan Negeri telah berkunjung premis yang ditularkan akan mengadakan Oktoberfest untuk mendapatkan penjelasan.
“Hasil dari kunjungan tersebut didapati bahawa premis yang dinyatakan itu sememangnya telah memiliki lesen untuk menjual minuman keras dan pemiliknya mengesahkan bahawa tiada sebarang sambutan Oktoberfest di premis miliknya.
“Sehingga kini kerajaan tidak menerima sebarang permohonan untuk tujuan penganjuran Oktoberfest di negeri ini,” kata Ariffin dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau dari masa ke semasa bagi memastikan tiada penganjuran Oktoberfest diadakan di Terengganu.-UTUSAN ONLINE











