TERENGGANU FC II (TFC II) melakar sejarah muncul sebagai pasukan pertama menjulang trofi Piala Cabaran selepas menewaskan UKM FC dengan keputusan agregat 4-2 pada aksi final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.
Pada aksi yang berlangsung di hadapan lebih 5,000 penyokong itu, penyerang sensasi TFC II, Akanni Sunday-Wasiu muncul wira buat pasukan Liga Premier berkenaan selepas meledak dua gol pada aksi final kedua yang berkesudahan 2-0 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Shah Alam minggu lalu.
Piala Cabaran diperkenalkan buat julung-julung kali oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi memastikan pasukan yang gagal layak ke Piala Malaysia tahun ini dapat mengharungi perlawanan kompetitif sehingga penghujung musim.










