PERTUBUHAN NEGARA-NEGARA BERSATU (PBB), Amerika Syarikat – Satu pertuduhan penghapusan etnik terhadap masyarakat Islam Rohingya Myanmar diteruskan, kata penyiasat PBB selepas mereka membentangkan laporan kepada Majlis Keselamatan semalam.
Pembentangan itu membolehkan isu tersebut dirujuk kepada satu tribunal antarabangsa.
Pengerusi Misi Pencarian Fakta PBB ke Myanmar, Marzuki Darusman berkata, keganasan tentera negara itu melangkaui pembunuhan beramai-ramai, konflik merangkumi pemulauan populasi, mencegah kelahiran dan pemindahan besar-besaran di kem-kem (pelarian).
“Ianya merupakan satu tindakan penghapusan etnik,” katanya pada satu sidang akhbar.
“Kami merumuskan niat pembunuhan beramai-ramai boleh disimpulkan secara wajar,” katanya selepas dia membentangkan laporan pasukan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.
Laporan 444 muka surat yang diterbitkan untuk bacaan umum bulan lalu meminta majlis tersebut merujuk isu berkenaan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague atau menubuhkan satu tribunal sementara seperti dilakukan terhadap negara bekas Yugoslavia.
Laporan menggemparkan itu menyatakan panglima-panglima tertinggi Myanmar, termasuk Ketua Komander Min Aung Hlaing mesti disiasat dan didakwa atas tuduhan genosid di negeri Rakhine.
Myanmar membantah tuduhan bahawa tenteranya melakukan kekejaman dalam kekerasan tahun lalu yang memaksa 720,000 penduduk Rohingya melarikan diri ke dalam sempadan Bangladesh.
Konflik tersebut juga menyaksikan kira-kira 390 buah kampung dimusnahkan dan 10,000 penduduk Rohingya dibunuh, kata Marzuki.
Suasana itu tidak meletakkannya berada dalam keadaan selamat, bermaruah dan mampan untuk kepulangan semula penduduk Rohingya di Bangladesh ke Myanmar, katanya dan memberi amaran bahawa apa-apa cubaan akan menyebabkan risiko lebih banyak kematian. – AFP










