Mereka yang gemarkan haiwan terutama sebagai hobi pastinya tidak mahu ketinggalan berkunjung ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Sedang, Selangor yang jaraknya hanya 25 minit dari Kuala Lumpur.
MAEPS berkeluasan 130 hektar (ha) dibangunkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Mlaaysia (MARDI) pada tahun 2008.
Satu daripada komponen penting MAEPS adalah LamanAgro, Agro Recreation dan Rumah Negeriku dan antara elemen penting Laman Agro adalah Animal Garden atau laman ternakan yang menempatkan Ladang Goat2Go yang mempamerkan pelbagai jenis spesies haiwan.
Mereka yang gemarkan haiwan pastinya tidak akan melepaskan peluang memegang, memberi makan dan bergambar bersama haiwan yang dijaga dengan rapi termasuk ular, iguana, rakun, arnab, kura-kura, pelbagai spesies burung dan ayam.
Pengunjung boleh melawat kandang kambing sebelum membuat pilihan yang mana satu hendak disembelih dan menikmatinya mengikut cita rasa menu masing-masing. Bagi yang ingin mendapatkan bekalan kambing golek atau untuk majlis aqiqah, mereka juga boleh membuat tempahan.
Berhampiran dengan taman tersebut, terdapat TeknoKafe Ladang Goat2Go yang menyediakan sajian berasaskan kambing yang disembelih terus dari ladang. Di sini, tidak ada istilah daging disejuk beku. Semuanya segar dari ladang.
Ladang berkenaan yang dibuka oleh Goat 2 Go Sdn Bhd. secara berperingkat-peringkat bergantung kepada fasa pembinaan keseluruhan melibatkan empat bahagian.
Menurut Pengarah Syarikat, Nordin Mat, beliau dan rakan-rakannya mendapat inspirasi mewujudkan taman hiawan berkenaan bagi mendekatkan masyarakat bandar dengan haiwan ternakan termasuklah kambing.
“Tujuan utama adalah bagi memasarkan produk penternak tempatan seperti kambing, biri-biri , lembu dan hasil tenusu yang diternak kepada pengguna khususnya Lembah Klang,’’ ujarnya.
Bersesuaian dengan matlamat untuk menarik kedatangan pengujung pihaknya membina pelbagai kemudahan untuk keselesaan termasuklah tandas, kaferia, surau dan kedai cenderamata selain pusat sembelihan.
“Antara keistimewaan taman haiwan ini adalah pengunjung boleh menyentuh haiwan yang dipamerkan dengan bantuan petugas. Kanak –kanak pula berpeluang menyertai kelas membuat ais krim dan keju,’’ ujarnya.
Langkah Kelab Generasi Transformasi Ruminan (GTR) yang terkini dengan kerjasama syarikat Major Transglobal (MTG) iaitu mewujudkan G2G Animal Garden di MAEPS Serdang sebagai satu strategi untuk ‘membandarkan’ bidang penternakan supaya penduduk bandar yang kini agak terpisah dengan aktiviti pertanian serta penternakan dapat mengenal dengan lebih rapat lagi industri yang membekalkan sumber makanan mereka.
Strategi ini diharapkan dapat membina minat dalam kalangan kanak-kanak kepada haiwan ternakan dan seterusnya mewujudkan golongan pelapis penternak pada masa hadapan.
Mengenai perancangan akan datang, beliau berkata, pihaknya mahu menambah lagi pelbagai produk berasaskan daging untuk pasaran hasil ladang penternak ruminan tempatan.
GTR bantu industri ternakan
Kelab Generasi Tranformasi Ruminan (GTR) diwujudkan sebagai wadah kepada golongan penternak dalam membantu kerajaan menentukan hala tuju dan merancakkan industri ruminan.
Kelab GTR ditubuhkan sejak tahun 2006 dan kini mempunyai ahli hampir 5,000 orang yang sebahagian besarnya merupakan golongan penternak ruminan di seluruh negara.
Penubuhan kelab ini merupakan suatu manifestasi golongan penternak untuk melihat agar industri yang sangat penting seperti ruminan mempunyai wadah atau saluran utama untuk menyuarakan isu yang timbul kepada pihak kerajaan.
Kelab ini yang kini diterajui Hussain Jaapar sebagai presiden dan Nordin Mat sebagai timbalan diwujudkan supaya semua individu yang mempunyai minat dalam bidang penternakan, tidak kira sama ada golongan penternak, usahawan berasaskan produk ternakan dan juga pengguna itu sendiri dapat berkumpul serta berkongsi idea untuk memajukan industri ini.
Menurut Nordin antara isu utama industri ruminan ketika ini ialah kos pemakanan ternakan yang kian meningkat saban tahun.
Kos makanan ternakan yang menjadi pilihan penternak tempatan iaitu palm kernel cake (PKC) yang meningkat menyebabkan penternak terpaksa menanggung beban yang sangat tinggi kerana kos pemakanan biasanya merangkumi hampir 70 peratus daripada kos operasi ladang ternakan.
Tambah memburukkan lagi ialah sikap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam industri perladangan yang lebih gemar mengeksport PKC ke luar negara kerana harga yang lebih tinggi.
Sikap ini amat dikesali kerana sepatutnya produk hiliran dari industri kelapa sawit tersebut diedarkan dalam negara supaya para penternak tempatan dapat menikmatinya dengan harga yang lebih kompetetif.
Meningkatan kos operasi juga merupakan salah satu sebab mengapa terdapat penternak yang lebih gemar mengimport terus ternakan hidup dari luar negara kerana kos pemakanannya dapat dijimatkan.
Namun begitu, kebergantungan secara langsung kepada negara luar adalah berisiko tinggi seperti mana isu pengharaman eksport ternakan Australia ke Malaysia bermula pada tahun ini atas sebab tidak mematuhi piawaian pengendalian serta penyembelihan ternakan iaitu Sistem Jaminan Rantaian Bekalan Pengeksport (ESCAS).
Justeru kegiatan pertanian dan penternakan tempatan haruslah digiatkan kerana penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh serta lebih berkesan.
Hala tuju industri ruminan yang ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara ialah mencapai kadar sara diri (SSR) sebanyak 30 peratus pada tahun 2020 supaya bekalan makanan negara terutama sumber protein kepada rakyat terjamin.
Penubuhan Majlis Perunding Pertanian Negara yang melibatkan segenap lapisan komuniti yang terlibat dalam bidang pertanian seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), akademik dan usahawan merupakan satu langkah proaktif yang wajar dipuji.
Antara cadangan kepada kerajaan dalam memajukan industri ruminan secara lebih efektif ialah membangunkan golongan penternak yang produktif iaitu melebihkan kepada pemberian insentif berasaskan output berbanding insentif input supaya memberi motivasi kepada para penternak dan seterusnya meningkatkan penghasilan hasil daging dan tenusu negara.
Selain itu, agensi yang bertanggungjawab dalam pemasaran seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diharapkan dapat memberikan peluang yang lebih besar kepada para usahawan ternak kecil untuk menjual produk mereka.
Dalam pada itu, GTR akan menganjurkan Majlis Makan Malam Gala GTR di tapak Goat2Go pada Jumaat ini bermula pukul 8 malam.
Majlis tersebut dijangka dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.
Antara acara program termasuklah antaranya persembahan konsert Kumpulan May dan anugerah GTR 2018.











