Sultan Selangor zahir takziah kepada keluarga enam anggota PPDA - Utusan Malaysia

Sultan Selangor zahir takziah kepada keluarga enam anggota PPDA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mati lemas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja di Putra Perdana, kelmarin.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ingin menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada balu-balu dan keluarga enam anggota bomba yang terkorban ketika menjalankan tugas semasa operasi mencari dan menyelamat di Puchong, Selangor.

“Beta berharap agar waris serta ahli keluarga redha dan tabah menerima ketentuan ini. Sesungguhnya pengorbanan wira-wira ini adalah sesuatu yang amat mulia di sisi agama, bangsa dan negara,” titah baginda.

Enam anggota PPDA iaitu Mazlan Omarbaki; Yahya Ali; Muhammad Hifdzul Malik Shaari; Adnan Othman; Mohd. Fatah Hashim dan Izatul Akma Wan Ibrahim meninggal dunia selepas mereka terperangkap dalam putaran air ketika dalam operasi SAR seorang remaja lelaki, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azam, 17.

Kematian mereka mengejutkan negara kerana ia merupakan insiden pertama seumpamanya melibatkan kehilangan nyawa anggota penyelamat dalam jumlah yang besar.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menitahkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu semua balu, anak dan keluarga enam anggota PPDA berkenaan.

“Bagi meringankan beban, LZS akan turut menyerahkan sumbangan kepada balu, anak dan keluarga mangsa,” titah baginda. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN