SJKT boleh mohon cuti peristiwa atau cuti ganti sempena Deepavali - Utusan Malaysia

SJKT boleh mohon cuti peristiwa atau cuti ganti sempena Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Pengarah Pendidikan Negeri diminta membenarkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mengambil cuti peristiwa atau cuti ganti bagi sekolah yang memohon bersempena sambutan Hari Deepavali tahun ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, kelulusan bagi sekolah-sekolah yang memohon cuti berkenaan akan diberikan Pengarah Pendidikan negeri masing-masing.

“Bagi SJKT yang berada dalam negeri di Kumpulan A (Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) yang mana cutinya ditetapkan bermula 4 hingga 6 November 2018, maka mereka boleh memohon cuti peristiwa pada 7 dan 8 November 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Manakala bagi SJKT yang berada dalam negeri di Kumpulan B (selain daripada negeri di Kumpulan A) yang mana cutinya ditetapkan bermula pada 5 hingga 7 November 2018, mereka boleh memohon cuti peristiwa pada 8 dan 9 November 2018,” katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan itu, sekiranya jumlah cuti peristiwa sekolah tersebut telah habis digunakan dan masih berkehendakkan cuti tambahan, pihak sekolah boleh memohon untuk mendapatkan cuti berganti.

“Hari penggantian hendaklah diadakan pada bulan Oktober 2018 dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga diminta mengatur semula peperiksaan akhir tahun sekolah jika melibatkan tarikh-tarikh berkenaan.

“Kementerian juga bersetuju bahawa bagi mana-mana guru kaum India yang mengajar selain di SJKT, mereka boleh memohon Cuti Rehat Khas (CRK) melalui pihak pentadbir sekolah masing-masing pada tarikh-tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, bagi murid-murid kaum India yang belajar di sekolah selain SJKT, mereka juga boleh diberi pelepasan pada tarikh-tarikh yang ditetapkan.

Bahagian Sekolah Harian Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan surat pemakluman mengenai perkara ini kepada semua Pengarah Pendidikan Negeri pada 1 Oktober lalu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini