KUALA LUMPUR 30 Okt. – Berselindung di sebalik syarikat agensi pelancongan dan mampu mengaut keuntungan hingga mencecah puluhan juta ringgit dengan menggodam sistem Program Pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) bagi mendapatkan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu melalui MyEG.
Itu dilakukan satu sindiket yang didalangi lapan warga India serta seorang lelaki warga tempatan berusia 23 hingga 73 tahun dipercayai bergerak aktif sejak lapan tahun lalu.
Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar selepas ditahan pegawai Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisis Jabatan Imigresen dalam serbuan kira-kira pukul 7.30 malam di sebuah premis agensi pelancongan di Jalan Masjid India di sini, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hasil pemeriksaan menemukan sebuah bilik rahsia dan merampas sebanyak 1,731 pasport Bangladesh, Indonesia, Vietnam, Pakistan dan Myanmar berserta wang tunai RM97,086 dan lapan buah komputer.
Menurut beliau, sindiket tersebut menawarkan khidmat kepada syarikat yang memerlukan pekerja asing dengan memberi jaminan bahawa setiap permohonan akan diluluskan.
“Mereka turut dikenakan bayaran tertentu sebanyak RM7,000 bagi pekerja yang belum memasuki negara ini dan memerlukan surat Visa Dengan Rujukan (VDR) manakala RM1,500 untuk warga asing yang telah bekerja di negara ini untuk tujuan memasukkan maklumat pekerja ke sistem myIMMs yang digodam.
“Sindiket ini dipercayai menguruskan kemasukan pekerja asing terutama dari India dan Sri Lanka untuk bekerja dalam industri pembinaan serta perkhidmatan,” katanya dalam sidang akhbar di Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Mustafar, siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti individu terlibat termasuk dalang lain sindiket itu serta kesemua yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport.
Beliau menambah, sebanyak 40 syarikat yang dikenal pasti berurusan dengan sindiket terbabit digesa tampil bagi membantu siasatan sebelum tindakan lebih tegas dikenakan terhadap mereka.










