KUALA TERENGGANU – Tugas dan peranan ahli farmasi menjadi semakin mencabar kerana masyarakat kini lebih gemar membeli produk kesihatan dan kecantikan yang tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara atas talian.
Pengarah Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi KKM, Dr. Kamaruzaman Saleh berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna supaya mereka mendapatkan ubat-ubatan yang berkualiti dan selamat.
“Kaum wanita kini lebih cenderung untuk kelihatan cantik manakala lelaki ingin menjadi lebih kuat, lalu mereka memilih untuk membeli produk yang tidak diluluskan oleh KKM melalui aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp.
“Para pengguna dinasihatkan untuk menyemak terlebih dahulu status pendaftaran sesuatu produk melalui laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara bagi memastikan ubat yang dibeli adalah selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Farmasi Negeri Terengganu Tahun 2018 di Pusat Dagangan Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Mohd. Jusoh.
Dalam perkembangan lain, Kamaruzaman berkata, sebanyak 1,096 jenis ubat yang tidak berdaftar serta barangan kosmetik tidak bernotifikasi berjumlah RM2.07 juta dirampas sepanjang tahun lalu di negeri Terengganu. – K! ONLINE










