PASUKAN hoki bawah 18 tahun (B-18) negara mencipta sejarah di bumi Argentina apabila mengesahkan status selaku dua pasukan terbaik dalam acara hoki lima sebelah (5’s) pada Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2018.
Kejayaan mara ke pentas final hadir selepas skuad yang diberi gelaran Young Tigers itu berjaya menewaskan Zambia 7-4 pada aksi separuh akhir di Taman Olimpik Argentina, Buenos Aires awal pagi semalam.
Bintang dalam pembikinan arena hoki tanah air, Muhamad Akhimullah Anuar Esook sekali lagi mempamerkan ketajamannya di depan gawang gol apabila meledak hatrik ke atas Zambia pada perlawanan itu.
Ia merupakan koleksi jaringan ke-20 buat penyerang kelahiran Terengganu itu yang kini mengungguli carta penjaring terbanyak temasya tersebut.
“Sukar untuk saya menggambarkan perasaan kami sekarang. Bukan mudah untuk kami melangkah ke tahap sekarang, apatah lagi ini adalah kali pertama kami beraksi pada kejohanan besar seperti YOG.
“Kami akan cuba memberikan tentangan sengit pada final nanti. Kami harap dapat mengekalkan momentum sekarang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Turut meledak gol ke atas Zambia ialah Muhammad Noor Firdaus Rosdi yang menjaringkan dua gol dan satu gol masing-masing daripada Muhammad Muhibuddin Moharam serta Syarman Mat Tee.
Lawan anak-anak buah Wallace Tan itu di pentas final pagi tadi ialah musuh ketat di benua Asia, India yang menewaskan salah satu pasukan pilihan iaitu tuan rumah, Argentina 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung awal pagi semalam.
Ini merupakan sejarah baharu buat arena hoki tanah air kerana YOG 2018 merupakan penampilan pertama Young Tigers selepas gagal melayakkan diri pada dua penganjuran terdahulu bermula edisi 2010 di Singapura dan 2014 di Nanjing, China.
Pada masa sama, ia memberikan keyakinan kepada barisan pemain untuk mencapai satu lagi sasaran selepas ini iaitu melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja 2020.










