Sayang ‘lepaskan’ setem dalam simpanan - Utusan Malaysia

Sayang ‘lepaskan’ setem dalam simpanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejujurnya penulis memang tidak meminati hobi mengumpul setem. Mungkin semasa kanak-kanak dahulu pernah menyimpan beberapa keping setem di dalam album, namun setakat itu sahaja.

Bagi penulis, setem ini cuma sekeping kertas berbentuk empat segi sama atau tepat yang dijual di pejabat pos untuk dilekatkan di sampul surat sebelum di pos ke destinasi tertentu.

Namun, berpeluang bertemu dengan pengumpul setem tegar, Nurul Hazah Ahmad Hayati, 41, menimbulkan persepsi yang berbeza mengenai hobi ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pendapat klise mengenai reka bentuk setem, fungsi dan caranya juga turut berubah. Tidak sangka seiring peredaran masa, setem sekarang boleh didapati dalam pelbagai bentuk, warna, rekaan, teknik dan momentum.

Nurul Hazah sendiri, sebenarnya telah menjadikan hobi mengumpul setem ini sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Katanya, menetap dengan keluarga di kampung yang berjauhan dari pekan, menjadikannya lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

Justeru, dia menjadikan hobi mengumpul setem ini sebagai satu ruang untuk melepaskan kebosanan pada waktu senggang, sementelah ketika itu tiada gajet dan Internet sebagaimana kanak-kanak hari ini untuk bermain.

“Saya mendapat setem terpakai yang dibawa oleh ayah apabila pulang dari kerja. Waktu itu dia bertugas sebagai pegawai kastam. Di sekolah pula, saya meminta setem terpakai daripada cikgu, jiran-jiran dan bertukar-tukar dengan rakan sekolah yang mempunyai hobi sama.

“Ketika di sekolah, pantang saya nampak surat yang dibawa ke bilik guru atau pejabat, pasti saya ekori kerana mahukan setem yang tertampal pada surat itu.

“Apabila umur meningkat ke usia 11 tahun, saya sudah pandai menulis surat dan mempunyai rakan pena (pen-pal) yang berada di luar negara untuk saya bertukar-tukar setem,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Nurul Hazah menjelaskan, selain setem daripada pelbagai kategori yang dikumpul, dia juga mengumpul setem keluaran khas, sampul hari pertama, folder hari pertama yang mempunyai cop tarikh khas, definition setem, keluaran khas setiap negeri, lembaran mini, pertabalan, setem raikan hari lahir pemimpin negara, dan banyak lagi juga setem yang diperoleh dari luar negara.

Setiap keping setem yang diterimanya akan diasingkan mengikut kategori seperti ASEAN, patriotik, bangunan, bunga, bintang, negara dan bentuk. Bagi setem luar negara pula diasingkan kepada rekaan unik dan bentuk yang menarik dan luar biasa.

Setiap kali apabila mendapat tahu ada lembaran atau folder hari pertama atau setem-setem baharu dikeluarkan oleh pejabat pos, dia turut beratur di pejabat pos untuk mendapatkannya.

Dia juga bertukar-tukar setem dengan rakan-rakan pengumpul setem lain untuk mendapatkan koleksi yang belum lagi dimiliki.

Ditambah dengan teknologi terkini, penggunaan sosial media menjadi perantara untuk dia mendapatkan setem-setem yang belum dimiliki daripada rakan-rakan pengumpul lain sama ada di dalam atau luar negara.

Bagi yang tidak mengetahui, mengumpul setem ini bukan sekadar hobi, tetapi ia juga menyimpan nilai yang tinggi.

Setiap satu setem yang tiada lagi di dalam pasaran, si pengumpul setem boleh menjualnya dengan harga yang lebih tinggi kepada yang mahu memiliki.

Sebagai contoh, sekiranya dia membeli setem itu pada harga RM6, jika ingin dibeli oleh si pengumpul setem lain, harganya boleh mencecah sehingga RM30.

Nurul Hazah sendiri mengakui biarpun tidak mengira berapa banyak setem dalam koleksi simpanannya, tetapi dia menganggarkan koleksinya sudah mencecah ribuan ringgit.

Namun, biasanya si pengumpul setem hanya akan menjual sekeping atau dua sahaja setem mereka yang berada dalam simpanan itu pun yang mempunyai lebihan setem yang sama. Selebihnya akan dijaga dengan elok dan rapi.

“Bagi pengumpul setem, kita akan berusaha mencari setem-setem baharu atau lama yang tiada dalam simpanan, manakala setem yang sedia ada tidak sesekali akan ‘dilepaskan’ dengan mudah,” kata wanita berasal dari Taiping, Perak yang bertugas sebagai perunding insurans ini.

Nurul Hazah memberitahu, setem-setem luar negara juga sangat unik bentuknya sebagai contoh, terdapat setem dari Thailand, yang memperagakan sebutir beras asli pada setemnya, setem batik dari Indonesia, setem diperbuat daripada kulit dan batu Swaroski dari Austria, setem bentuk segi lapan dan setem tiga dimensi dari Thailand. Selain itu, terdapat setem berbau gaharu dan jasmin serta melur dari India, setem diperbuat dari sutera dari China dan banyak lagi yang menarik.

Wanita itu menjelaskan si pengumpul setem perlu ada kawan untuk mereka saling bertukar-tukar maklumat dan setem.

Nurul Hazah memberitahu, bersandarkan hobi itu membantunya lebih fokus, ramai kenalan, tambah pengetahuan dan ingatan fotografik, iaitu dia mudah mengenali atau mengecam seseorang itu.

Di masa lapang dia turut membelek dan menyusun atur setem di dalam simpanannya yang disimpan di dalam pelbagai album yang dijaga rapi.


……………………………………….

GAMBAR: SAIFUL BAHARI ASHARI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini