KEGAGALAN Andi Bernadee dalam program Big Stage tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mengatur langkah dalam bidang seni suara, sebaliknya namanya terus mencanak dalam kalangan pengikut warganet.
Jelas Andi, meskipun tidak berjaya menjadi finalis dan hanya bertahan dalam tempoh tiga minggu bersaing di platform tersebut, dia memperoleh jumlah peningkatan pengikut yang menggalakkan hingga mencecah ratusan ribu.
“Saya tak kecewa, mungkin bukan rezeki ke final tapi Big Stage satu pengalaman yang baik untuk orang baharu seperti saya. Sepanjang menyertai program itu saya dapat belajar bahawa untuk menyertai sebarang pertandingan memerlukan mental yang kental. Selain itu, kesihatan perlu dijaga.
“Saya pun kurang pasti nak letak diri sama ada sesuai untuk pertandingan atau tidak? Apa-apa pun bagi saya, penyertaan itu banyak membantu saya untuk melihat dan meneroka bidang seni secara dekat,” katanya.
Meskipun tersingkir pada minggu ketiga, sebagai salah seorang peserta Big Stage, Andi juga sudah diberi lagu baharu untuk peringkat akhir dan telahpun merakamkannya.
Ternyata lagu final ciptaan Alif Sleeq, Satu Peluang benar-benar memberi peluang keemasan kepada Andi kerana lagu tersebut dipilih menjadi tema untuk drama bersiri Cik Reen & Encik Ngok Ngek yang sedang ditayangkan.
“Saya gembira kerana biarpun ini kerjasama pertama saya dengan Aliff, namun kami mudah berkolaborasi dan tak sangka lagu itu dipilih untuk dijadikan lagu tema bagi drama tersebut.
“Selalunya lagu tema akan dicipta berdasarkan jalan cerita tapi untuk Satu Peluang, lagu itu diberi kepada produksi selepas lengkap rakaman. Dipilih sebagai lagu tema secara tak langsung memberi publisiti kepada saya juga,” katanya.
Satu Peluang yang berentak reggaeton itu merupakan single ketiga Andi selepas lagu Tiada Lagi Maaf yang berentak balada dan Semalam Sahur Di Mana dengan rentak rap.
“Memandangkan lagu itu lagu tema untuk drama berkemungkinan besar saya juga akan selitkan sedutan drama tersebut dalam muzik videonya yang akan disiarkan secara rasmi dalam semua platform media seperti i-Tune, Spotify dan Joox Music pada 5 Oktober ini.
“Tak sabar saya menunggu reaksi pendengar terhadap single baharu saya itu,” katanya.
Uji diri
ATAS dasar mahu menguji kebolehan diri, Andi Bernadee juga menerima tawaran membawakan watak Ajib untuk telefilem Korban Penunggu Hospital.
Biarpun sebagai watak pembantu, Andi mengakui, banyak menimba pengalaman daripada pelakon seperti Kodi Rasheed, Aprena Manrose dan Fatin Afifa.
“Sebelum turun ke lokasi penggambaran saya banyak menonton cerita-cerita seram untuk digunakan sebagai panduan. Biarpun saya orang baharu, pelakon lain tidak memandang rendah terhadap kemampuan saya.
“Sebaliknya mereka banyak membantu saya untuk menjiwai watak Ajib yang saya anggap memang berat buat pendatang baharu seperti saya. Perlu fokus lebih-lebih lagi bagi menjayakan babak muka saya dikerumuni lipas.
“Lebih dua jam juga untuk lengkapkan adegan itu sebab lipas-lipas itu terbang. Kira-kira 10 ekor lipas juga diletakkan pada muka saya. Saya tak geli, tapi bau lipas itu cukup busuk. Untuk adegan itu pihak produksi menggunakan lipas Madagascar yang biasanya digunakan untuk dijadikan makanan ikan,” ceritanya.
Tambah Andi, gara-gara berlakon dalam telefilem arahan Eyra Rahman itu, dia juga kehilangan suara untuk beberapa hari kerana watak Ajib banyak menjerit.










