Salah guna pas kahwin untuk jadi GRO, pelacur - Utusan Malaysia

Salah guna pas kahwin untuk jadi GRO, pelacur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Berkahwin dengan lelaki warga tempatan demi tujuan melanjutkan pas lawatan sosial (PLS) dan melakukan kerja haram seperti aktiviti pelacuran.

Itu modus operandi terbaharu sindiket dikenali sebagai marriage of convenience’ menggunakan lelaki tempatan warga emas untuk didaftar perkahwinan bagi mendapatkan pas lawatan sosial, namun hakikatnya bertujuan membawa masuk gadis pelayan pe­langgan (GRO) warga asing ke negara ini.

Buktinya, daripada 13,691 pemegang pas lawatan sosial jangka panjang yang telah dibatalkan dan diusir sepanjang tahun ini oleh Jabatan Imigresen, 1,934 daripada jumlah tersebut didapati menyalah guna pas mereka.

Ketua Pengarah Imigresen,­ Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hasil pemeriksaan pihak­nya mendapati GRO warga asing yang ditahan telah berkahwin dengan lelaki tempatan serta mempunyai dokumen perkahwinan sah.

Menurut beliau, bagaima­napun, ketika disoal siasat mereka berkahwin hanya ‘atas kertas’ dengan tujuan menyalahgunakan serta me­lanjutkan pas lawatan sosial bagi melakukan kegiatan pelacuran.

“Apabila ‘suami’ datang untuk jamin, mereka memberikan alasan telah memberi kebenaran kepada isteri keluar berhibur di pusat hiburan, walhal terlibat da­lam ke­giatan pelacuran.

“Kita percaya lelaki tempatan warga emas itu dibayar sindiket yang didalangi warga tempatan, namun kita masih menjalankan risikan serta siasatan untuk mengenal pasti dalangnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya mendapati sindiket kini semakin licik ‘mencipta’ tempat persembunyian untuk GRO menyorokkan diri bagi mengelakkan ditahan pihak ber­kuasa.

“Ahad lalu, satu serbuan dilakukan di sebuah premis hiburan di Perak dan didapati hanya pelanggan lelaki di situ.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut menemukan sebuah ruang berdinding yang dikawal menggunakan alat kawalan jauh. Apabila dibuka, didapati satu lorong rahsia sehingga menemukan panel elektrik iaitu GRO warga asing menyembunyikan diri dalam kotak itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN