Rumah perlindungan berkonsep keluarga - Utusan Malaysia

Rumah perlindungan berkonsep keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gejala sosial di Malaysia semakin meruncing dan membimbangkan. Banyak yang dapat kita baca di dalam akhbar mengenai kisah pembuangan bayi tanpa perikemanusiaan, membunuh diri, terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan banyak lagi.

Selain itu, ramai gadis terbabit dalam pergaulan bebas sehingga hamil di luar nikah. Oleh kerana takut dengan keluarga, mereka mendiamkan diri dan menanggung masalah tersebut seorang diri sehinggalah bersalin.

Oleh kerana sekali lagi bimbang diketahui keluarga dan masyarakat, mereka sanggup membunuh bayi yang dilahirkan atau membuang di tempat-tempat yang tidak sepatutnya seperti di dalam longkang, sungai, semak dan tandas.

Demi menyelamatkan gadis-gadis yang terlanjur dan bayi yang dilahirkan, Mohamad Zaid Mohamad Shah, 36, sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri menyediakan tempat berteduh, makanan dan sebagainya untuk mereka.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nur Hati Selangor dan Wilayah Persekutuan, ini berkata, dia menyewa tiga buah rumah teres bagi menempatkan seramai 53 penghuni yang terdiri daripada remaja bermasalah, anak luar nikah, anak yatim, warga emas dan rumah transit bagi remaja perempuan yang terlanjur.

Menurutnya, Pertubuhan Kebajikan Nur Hati yang terletak di Taman Rasmi Jaya, Ampang, Selangor adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan berdaftar sebagai rumah perlindungan orang tua, remaja bermasalah, terlanjur dan anak yatim, selain menerima juga isteri yang didera.

“Tahun ini (2018), hampir setiap hari kami menerima panggilan telefon daripada ibu bapa, ibu saudara, bapa saudara yang mahu menghantar anak gadis mereka yang hamil luar nikah ke rumah ini.

“Majoriti yang hamil luar nikah ini tidak diketahui oleh keluarga mereka. Kami juga banyak menerima kes-kes berat seperti ibu yang hendak membunuh diri atau membuang anak,” katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Bercerita mengenai pertubuhan kebajikan itu, Mohamad Zaid yang turut dibantu oleh isterinya, Nurul Natasha Anuar, 34, berkata, ia diasaskan pada tahun 2007 oleh ibunya sendiri, Noor Jamaliah Sharifuddin, 61, yang kini terlantar akibat strok tahun lepas.

Menurutnya, ketika itu, mereka tinggal di sebuah rumah pangsa di Sentul dan ibunya tidak boleh melihat orang yang dalam kesusahan.

Ibunya selalu membawa pulang wanita yang hamil di luar nikah, mangsa perceraian, mangsa dera dan ibu tunggal ke rumah.

Ada satu masa, ibunya menjaga seramai tujuh orang warga emas yang telah dibuang anak-anak mereka. Mereka hidup gelandangan dan merayau-rayau di sekitar Kuala Lumpur.

Tambahnya, tahun 2007 pula banyak berlaku kes anak yang dilahirkan tidak sah taraf (anak luar nikah), remaja terlanjur dan kehidupan remaja yang terlalu bebas.

“Sudah 15 tahun saya mengambil alih pengurusan pertubuhan kebajikan ini.

“Oleh kerana penghuni semakin bertambah, kami berpindah menyewa di rumah teres ini dengan sewa sebanyak RM4,000 sebulan supaya penghuni lebih selesa.

“Perbelanjaan bulanan termasuk sewa rumah, utiliti, bil elektrik dan air, susu, lampin pakai buang dan sebagainya berjumlah RM25,000. Semua perbelanjaan saya tanggung sendiri hasil daripada bisnes saya sebagai perancang majlis perkahwinan.

“Isteri pula menjalankan bisnes katering. Pendapatan daripada bisnes inilah yang kami gunakan bagi menampung perbelanjaan.

“Kami sangat-sangat memerlukan sumbangan orang ramai secara bulanan bagi operasi rumah ini. Kadang-kadang susu bayi kehabisan dan saya perlu segera menggerakkan kerja dalam kalangan kawan-kawan bagi mencari wang bagi membeli susu,” katanya.

Tambah Mohamad Zaid, pertubuhan tersebut mengamalkan konsep rumah keluarga. Hari-hari bagi penghuninya adalah hari raya, meriah, gembira dan tawa bagi mengelakkan penghuni daripada bersedih.

Justeru itu, apabila terdapat individu yang sedang menghadapi masalah atau kesusahan, sudah berada di depan pintu, dia akan tetap menerima dan tidak sampai hati hendak menolak.

Tujuannya bagi menyelamatkan bayi yang hendak dibuang dan memberi perlindungan kepada si ibu. Banyak berlaku apabila hamil, teman lelaki lari, duit tiada, dibuang keluarga dan tidak tahu hendak ke mana.

“Ada kes si ibu yang hendak membunuh diri dan anak dalam kandungan dengan memakan ubat. Ada pula kejadian bayi yang baru berumur setahun sudah mendapat darah tinggi dan tumbesaran tidak sihat kerana si ibu mengambil bermacam ubat bagi menggugurkan anaknya.

“Ada yang bersalin di bilik hotel seorang diri, memotong tali pusat anak berpandukan daripada YouTube. Setelah itu, si ibu menghantar anaknya ke rumah itu,” katanya.

Bagi Mohamad Zaid, sikap dan penolakan masyarakat membuatkan semakin ramai remaja yang terlanjur hamil luar nikah lebih rela membuang bayi atau yang lebih kejam, membunuh bayi mereka.

Bagi mereka, malu dengan orang lebih penting daripada malu dengan Allah.

Sementara itu, segala kerja menguruskan rumah ini dilakukan oleh lapan ibu tunggal yang juga menghuni rumah ini.

Mereka tidak diberi gaji, tetapi menjalani kehidupan sebagai sebuah keluarga dan sama-sama menjaga kanak-kanak dan warga emas.

Kini terdapat lebih 30 kanak-kanak. Walaupun anak tidak sah taraf ini ditinggalkan di situ setelah dilahirkan kerana tidak diterima oleh keluarga si ibu, tetapi jika kemudian si ibu mahukan anaknya semula, Mohamad Zaid akan menyerahkan anak tersebut.

“Saya tidak memberikan anak ini kepada orang lain bagi dijadikan anak angkat kerana mungkin ibunya akan datang semula, selain saya sendiri sudah sayangkan mereka,” ujarnya yang agak kesal kerana anak tidak sah taraf tiada pembelaan di negara ini.

Selain itu, dia kini sedang mencari dana bagi program Kembali Ke Sekolah bagi penggal persekolahan 2019 dan memohon dermawan yang mahu mewakafkan tanah atau rumah bagi dijadikan rumah perlindungan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN