Ronaldo lebih layak? - Utusan Malaysia

Ronaldo lebih layak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TURIN 30 Okt. – Cristiano Ronaldo berkata dia layak untuk memenangi Ballon d’Or buat kali keenam berbanding pencabarnya termasuk Antoine Griezmann, Luka Modric, Kylian Mbappe dan Lionel Messi.

Ronaldo dan Messi telah memenangi anugerah tersebut sebanyak lima kali dalam tempoh sedekad, namun kedua-duanya menghadapi persaingan yang lebih hebat pada 2018 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Griezmann dan Mbappe berjaya merangkul Piala Dunia di Rusia sementara Modric meraih Anugerah Bola Emas selepas mempamerkan persembahan cemerlang untuk membawa Croatia ke perlawanan akhir.

Sementara itu, Ronaldo membantu Real Madrid memenangi mahkota Liga Juara-Juara (UCL) kali ketiga berturut-turut sebelum menyertai Juventus dan yakin akan memenangi Ballon d’Or sekali lagi.

“Saya sudah berkali-kali mengatakan, keinginan untuk memenangi Ballon d’Or kali keenam bukanlah suatu obsesi. Dalam hati, saya tahu bahawa saya adalah salah seorang pemain terbaik dalam sejarah. Sudah tentu saya mahu memenangi Ballon d’Or keenam ini.

“Ia akan menjadi satu pembohongan untuk memberitahu anda sesuatu yang bertentangan. Saya bekerja keras untuk mencapainya kerana saya bekerja keras untuk menjaringkan gol dan memenangi perlawanan. Mengenai Ballon d’Or… ya, saya fikir saya berhak meraihnya,” kata Ronaldo dalam wawancara dengan Football France.

Keputusan Ronaldo untuk berhijrah ke Juventus dengan jumlah perpindahan bernilai 112 juta pound (RM532.8j) telah menggegarkan dunia bola sepak selepas bintang Portugal itu beraksi selama sembilan tahun di ibu kota Sepanyol.

Tambah, pemain berusia 33 tahun itu, dia memutuskan untuk menyertai juara Serie A tersebut ekoran hubungan buruknya dengan Presiden Real Madrid, Florentino Perez.

“Beliau (Perez) hanya memandang saya sebagai hubungan perniagaan. Saya berasakan situasi itu di kelab berkenaan terutama oleh presidennya. Mereka tidak lagi melayani saya seperti yang mereka lakukan pada awal ketibaan saya.

“Dalam tempoh empat atau lima tahun pertama di sana, saya mempunyai perasaan sebagai ‘Cristiano Ronaldo’. Selepas itu, cara presiden memandang saya tidak selari dengan apa diucapkannya, jika anda tahu apa yang saya maksudkan. Itulah yang membuatkan saya terlintas untuk pergi,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN