RIYADH – Arab Saudi berjanji bahawa tiada sesiapa akan dikecualikan dalam siasatan berhubung kehilangan wartawan, Jamal Khashoggi, kata Setiausaha Amerika Syarikat(AS), Mike Pompeo semalam.
Ditanya berhubung kemungkinan kerabat diraja Arab Saudi akan dipertanggungjawabkan dalam kes itu, Pompeo berkata bahawa selepas perbincangan di Riyadh:“Tiada sesiapa akan dilindungi sekiranya mereka didapati bertanggungjawab.”
Pompeo berkata demikian ketika berada di dalam pesawat yang membawa beliau ke Turki untuk menemui Presiden Recep Tayyip Erdogan. Terdahulu semasa di Riyadh, Pompeo mengadakan pertemuan dengan Raja Salman dan beberapa pemimpin kanan lain berhubung kehilangan Jamal.
Presiden Donald Trump mengerahkan Pompeo dalam misi penting ke Riyadh bagi meredakan krisis yang berlaku. Jamal yang mendapat kerakyatan AS dan merupakan kolumnis akhbar Washington Post dikenali sebagai pengkritik monarki Arab Saudi.
Beliau kali terakhir dilihat pada 2 Oktober lalu apabila memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul untuk mendapatkan dokumen bagi perkahwinannya.
Pegawai-pegawai Turki berkata, Jamal dibunuh di dalam bangunan konsulat itu.
Selepas seharian berunding di Riyadh, kenyataan oleh Pompeo dan komen Trump di laman Twitter menyatakan bahawa kepimpinan Arab Saudi ‘menafikan sekeras-kerasnya mengetahui apa yang berlaku di konsulat berkenaan’ tanpa menolak bahawa satu insiden telah berlaku.
Sementara itu, portal berita MailOnline melaporkan semalam bahawa masa tujuh minit digunakan untuk membunuh wartawan berkenaan pada hari kejadian, 2 Oktober lalu.
Laporan tersebut adalah berdasarkan rakaman audio detik-detik terakhir Jamal yang didengar oleh sumber Turki dan diceritakan kepada portal berita Middle East Eye.
Menurut sumber, Jamal diheret dari pejabat Konsul Besar Arab Saudi di Istanbul dan dibaringkan di atas meja di bilik bacaan di sebelah pejabat berkenaan.
“Konsul Besar dibawa keluar dari bilik itu. Tiada cubaan untuk menyoal siasat mangsa. Mereka (ejen-ejen Arab Saudi) datang untuk membunuhnya.
“Jeritan mengerikan kemudian didengari oleh seorang saksi yang berada di tingkat bawah bangunan konsulat,” kata sumber tersebut.
Menurutnya, jeritan itu hilang apabila Jamal dikatakan disuntik dengan bahan yang belum diketahui.
Sumber sama mendakwa bahawa tubuh wartawan itu dikerat-kerat dengan menggunakan gergaji tulang semasa dia masih hidup, manakala mangsa mati dalam masa tujuh minit. – AFP/Agensi










