SEREMBAN 12 Okt. – Melangkah masuk ke restoran Aneka Selera Kedai Hijau yang terletak di Batu 8, Jalan Labu dekat sini pasti membuatkan anda bingung untuk memilih juadah bagi sajian makan tengah hari.
Mana tidaknya, terdapat kira-kira 70 jenis sajian pelbagai rasa dihidangkan bagi memenuhi selera setiap pe-langgan.
Bagi mereka yang gemarkan masakan ala kampung, restoran yang terletak berhadapan Masjid Kampung Pasir Putih, Labu itu adalah pilihan terbaik.
Dari juadah yang sinonim dengan Negeri Sembilan iaitu masak lemak cili api hinggalah hidangan gulai kawah.
Pengusaha restoran tersebut, Noraziela Mohd. Zubir, 41, berkata, pelanggannya datang dari seluruh pelosok tanah air.
“Alhamdulilah sambutan pelanggan amat memberangsangkan. Mereka sanggup datang dari utara mahupun selatan tanahair untuk menikmati hidangan di sini,” katanya yang mengusahakan restoran itu bersama suaminya, Alias Jaafar, 46, sejak lapan tahun lalu.
Noraziela berkata, restoran itu merupakan perniagaan kedua selepas gerai Aneka Selera yang terletak di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Seremban arah selatan.
Katanya, pemilihan warna hijau terdiri daripada fizikal restoran, dekorasi serta penggunaan pinggan mangkuk menjadi keutamaan bagi memudahkan pelanggan mengingati Aneka Selera Kedai Hijau.











