Kaedah perubatan yang diamalkan seperti teknik pengimejan dalaman tubuh pesakit misalnya untuk mengesan sel tumor atau kanser sering memerlukan prosedur pembedahan atau endokskopi (membabitkan tiub besar dilengkapi kamera yang perlu dimasukkan ke dalam badan pesakit).
Bayangkan sel tumor tidak lagi memerlukan prosedur pembedahan atau endoskopi, sebaliknya dilakukan secara wayarles.
Memperkenalkan ReMix, peranti terbaharu ciptaan saintis di Makmal Kecerdasan Buatan dan Sains Komputer (CSAIL), Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat yang memudahkan proses pengesanan lokasi sesuatu objek yang terkandung dalam tubuh manusia dilakukan.
Walaupun ia tiada kaitan dengan satelit, teknologi itu boleh berfungsi di dalam badan manusia sama seperti apa yang dilakukan alat sistem kedudukan global (GPS) pada kereta yang memberitahu pemandu di lokasi mana mereka berada.
Justeru, MIT melabelkan peranti tersebut sebagai sistem ReMix yang merupakan gabungan peranti wayarles dan implan (atau mikrocip).
Rawatan kanser
Kajian yang dilakukan CSAIL itu membabitkan implan yang dimasukkan ke dalam tisu lemak ayam.
Haiwan tersebut digunakan sebagai bahan kajian yang menurut pasukan saintis, ia adalah sangat ideal untuk menyamai tisu manusia.
Hasil kajian yang dibentangkan di Budapest baru-baru ini menunjukkan bahawa implan tersebut boleh dikesan oleh peranti wayarles berkenaan sehingga ia berada pada jarak 1.4 sentimeter di dalam sel tisu lemak ayam itu.
Menurut saintis, Dina Katabi dari CSAIL yang mengetuai kajian tersebut, sistem ReMix melibatkan implan yang berfungsi sebagai suatu penanda sebaik ia dimasukkan ke dalam tisu badan dan kemudiannya, peranti wayarles tersebut digunakan untuk mengesan pergerakan implan berkenaan ketika ia berada di dalam badan.
“Lokasi yang lebih tepat kemudian boleh ditentukan dengan menggunakan sistem algoritma yang direka khusus.
“Penanda pada implan itu sendiri mencetuskan isyarat yang dihantar oleh peranti wayarles di luar badan,” jelasnya.
Menurut Katabi, teknologi tersebut juga boleh digunakan untuk menyalurkan ubat-ubatan ke bahagian tertentu di dalam badan.
“Salah satu bidang yang dijangka mendapat manfaat daripada ReMix kelak ialah terapi proton iaitu sejenis radioterapi yang kini diaplikasikan dalam rawatan kanser.
“Kami yakin ReMix dapat menyumbang bagi mengurangkan kos rawatan terapi proton,” ujarnya.
Pada masa ini terdapat hanya kira-kira 100 pusat terapi proton di seluruh dunia.
Katabi menambah, teknologi itu juga diharapkan dapat mengurangkan keperluan terhadap pembedahan dan endoskopi dan menjimatkan kos rawatan hospital dalam proses itu.
Model khusus
Namun cabaran sebenar adalah apabila sistem ReMix diuji pada tubuh manusia kelak.
“Terdapat isu di sini memandangkan sel-sel tisu badan manusia yang kompleks dan berbeza antara satu sama lain.
“Justeru, cabaran bagi kami adalah bagi menyempurnakan algoritma untuk sistem ReMix untuk disesuaikan dengan pelbagai bentuk dan saiz sel tisu badan manusia yang berlainan.
“Kami mahukan model (ReMix) yang secara teknikalnya dapat dilaksanakan dengan tepat bagi digunakan di dalam tubuh manusia,” ujar seorang lagi saintis dari CSAIL yang turut terbabit dengan kajian tersebut, Deepak Vasisht.
Menurutnya, jika teknologi tersebut diaplikasikan pada pesakit kanser pada suatu hari kelak, ia perlu dihasilkan dengan model khusus yang berdasarkan struktur fizikal seseorang pesakit berkenaan.
“Jika sistem ini berjaya diaplikasikan pada manusia, akan ada lebih banyak permintaan, bermakna lebih banyak pusat terapi proton boleh diadakan dan dengan kos rawatan yang lebih rendah untuk pesakit,” katanya.











