Remaja pilu kehilangan ibu dalam gempa di Sulawesi - Utusan Malaysia

Remaja pilu kehilangan ibu dalam gempa di Sulawesi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA PALU  – “Saat khutbah dibaca, saya tidak dapat menahan air mata apabila mengenangkan ibu saya yang maut dalam bencana ini.”

Itu luahan Erinto Kahdumah, anak tunggal berusia 13 tahun yang seperti hilang arah apabila orang yang paling disayanginya telah tiada akibat kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi Tengah, Jumaat lalu.

Erinto sebelum ini tinggal bersama ibunya Kasidah Ahmed, 46, di Patebo yang menyaksikan kawasan itu mengalami kemusnahan teruk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jasad ibu ditemui pasukan mencari dan menyelamat di celah runtuhan di kawasan dapur rumah kami yang ranap,” katanya ketika ditemui Bernama selepas solat Jumaat di Masjid Darul Naim di Palu Selatan, dekat sini.

Lebih memilukan, remaja itu berkata dia tidak akan dapat lagi merasai nikmat disuapkan ibunya ketika makan. 

“Setiap hari sebelum saya pergi ke sekolah, ibu akan menyuapkan makan tengah hari kerana dia risau saya mengotorkan seragam sekolah jika makan sendiri,” kata Erinto.

Pasukan sukarelawan membawa keluar mayat mangsa gempa bumi di Kampung Petobo hari ini. Dianggarkan 1Pasukan sukarelawan membawa keluar mayat mangsa gempa bumi di Kampung Petobo hari ini. Dianggarkan 152,000 mangsa masih tertimbus di seluruh kawasan yang terjejas ketika gempa berukuran 7.5 pada skala ritcher dan tsunami di Kota Palu Jumaat lepas. – Foto Bernama

“Selepas ini, dengan siapa lagi saya boleh menumpang kasih? Siapa yang mahu suapkan saya makan?,” katanya sambil menahan sebak.

Selepas mengamati khutbah Jumaat yang disampaikan, Erinto mengakui perlu menguatkan diri untuk meneruskan kehidupannya.

“Khatib ketika menyampaikan khutbah ada menyatakan kami tidak harus putus asa, sebaliknya perlu terus bangkit membina kehidupan baharu.

“Jika saya berputus asa dengan hidup ini, siapa yang akan melawat dan menjaga kubur ibuku?” jelas remaja itu.

Tragedi itu dilapor mengorbankan lebih 1,500 nyawa dan angka tersebut dijangka meningkat. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini