PERSONALITI televisyen, Ras Adiba Radzi yang menggalas cabaran Malaysia pada Sukan Para Asia 2018 bagi acara menembak, optimis untuk melakukan yang terbaik dalam penyertaan julung kali di Jakarta, Indonesia.
Ras Adiba, 50, yang menyertai acara rifle 10 meter (m) itu berharap akan dapat menyumbangkan pingat untuk negara, selain mengintai peluang beraksi di Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.
“Banyak jenis sukan saya sertai sebelum ini, tetapi saya mula fokus latihan sukan menembak sejak dua tahun lepas di bawah program Majlis Sukan Negara dan berjaya melepasi mata kelayakan minimum untuk penyertaan ke Sukan Para Asia,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan rasmi kontinjen-kontinjen yang menyertai sukan itu di Perkampungan Sukan di Kemayoran, Jakarta.
Personaliti popular televisyen itu terbabit kemalangan pada 1996 sehingga terpaksa menjalani pembedahan tulang belakang dan kemudiannya disahkan lumpuh separuh badan pada Julai 2002.
Malaysia menghantar 110 atlet lelaki dan 29 wanita yang akan menyertai 15 daripada 18 sukan yang dipertandingkan pada temasya itu dengan sasaran 15 pingat emas, menyamai pencapaian pada Sukan Para Asia di Incheon Korea Selatan 2014.
Sukan Para Asia 2018 yang akan bermula hari ini hingga 13 Oktober depan menawarkan 568 pingat emas itu disertai 39 negara.
Sukan Para Asia diadakan selepas Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang berlangsung 18 Ogos sehingga 2 September lepas. – Bernama











