ARAU – Kesengsaraan ribuan mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di Palu, Indonesia turut menyentuh sanubari lebih 180,000 rakyat Perlis.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, pihaknya akan melancarkan kutipan derma di lebih 100 masjid di negeri ini sebagai mekanisme bantuan segera kepada mangsa terjejas.
“Kutipan akan bermula esok hingga 19 Oktober ini.
“Lebih mengharukan, 117 penerima dan golongan asnaf MAIPs turut menghulurkan sumbangan untuk mangsa bencana itu.
“Ini sebagai bukti kepekaan rakyat Perlis tentang musibah yang berlaku di Indonesia.
“MAIPs turut merancang untuk mengadakan kerjasama dengan pihak Baitul Maal Hidayatullah (BMH) Indonesia yang merupakan rakan strategik MAIPs dalam misi bantuan bencana di Palu, Sulawesi kali ini,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, petang semalam, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat hadir dan melancarkan kutipan derma untuk mangsa gempa bumi dan tsunami di Indonesia di Masjid Nurul Yaqen, Kampung ChanteK Bangun, Simpang Empat dekat sini.
Tuanku Syed Faizuddin yang merupakan Yang Dipertua MAIPs bertitah, kutipan derma RM20,000 setakat ini telah berjaya dikutip oleh majlis agama itu. – K! ONLINE










