PUTRAJAYA – Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) yang baharu, Datuk Aminuddin Hassim berazam menjadikan Putrajaya sebagai bandar pintar dengan kualiti perkhidmatan bertaraf dunia.
Beliau berkata, sebagai sebuah bandar dengan majoriti penduduknya bekerja, Putrajaya perlu dibangunkan dengan penekanan terhadap penyampaian perkhidmatan sebagai teras seiring pembangunan sektor ekonomi dan sosial.
“Sejak dibuka, Putrajaya telah mengalami pembangunan yang begitu pesat dan atas faktor itu, PPj perlu pastikan perkhidmatan kepada penduduk berada di tahap terbaik, kondusif dan boleh dibanggakan.
“Sebab itu, untuk tempoh 100 hari saya akan turun bertemu dan berinteraksi dengan seramai mungkin penduduk bagi mendapat maklum balas tentang perkhidmatan dan program yang diharapkan mereka laksanakan di Putrajaya,” katanya pada sidang akhbar sejurus memulakan tugas hari pertama di Kompleks PPj di sini hari ini.
Aminuddin juga akan bertemu pemegang taruh, pemain industri serta pihak berkepentingan bagi menjana idea bagaimana pusat pentadbiran kerajaan persekutuan terus dibangunkan tanpa meminggirkan aspek penyampaian perkhidmatan yang merupakan antara fokusnya sepanjang mengetuai PPj. – Bernama











