PRK: Hanya pengundi jadi penentu - Utusan Malaysia

PRK: Hanya pengundi jadi penentu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG.
TINDAKAN Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkempen untuk memberi kemenangan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, pasti menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pihak tertentu.

Sebelum ini, ada yang sering mendakwa Daim yang juga bekas Menteri Kewangan tidak sehaluan dengan Anwar. Betulkah dakwaan ini?

Mereka menyifatkan, tindakan Daim mesti ada motif tertentu supaya Anwar menang mudah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Daim dalam kempennya sanggup berkata; “Lepas ini kalau nak selesaikan masalah, pilihlah Datuk Seri Anwar, kita suruh dia selesaikan masalah, tujuan pilih dia supaya dapat selesaikan masalah tuan-tuan dan puan-puan, insya-Allah.”

“Bila pilih dia, kita harap dia akan menyelesaikan masalah, jadi pada 13 Oktober ini, beramai-ramai keluar pilih bakal yang amat berhormat. Kita pilih dia untuk membela tuan-tuan dan puan-puan, kalau besok dia tak bela, beritahu,” katanya.

Daim berkata demikian sewaktu berucap dalam program minum petang bersama nelayan di Kampung Nelayan, Telok Kemang, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Turut hadir semasa kempen itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, Anwar pula berkata, kehadiran Daim adalah begitu bermakna terutama dalam membantu program kempennya untuk menawan Parlimen Port Dickson.

“Tun Daim Zainuddin dulu Menteri Kewangan merupakan seorang yang bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri dan kerajaan tentang permasalahan atau pun kewangan dan ekonomi negara.

“Kehadirannya itu sangat bermakna bagi kita, nak tunjuk bahawa beliau bukan sahaja bercakap soal bank-bank besar, ekonomi dan 1MDB tetapi datang untuk melihat kampung nelayan.

“Beliau berkata apa-apa masalah beritahu saya tetapi yang boleh selesaikan masalah sekarang ini ialah beliau,” katanya.

Dari kenyataan dua orang itu, nampaknya, harapan pihak tertentu untuk melihat Anwar tewas dalam PRK Port Dickson, tidak akan menjadi kenyataan.

Namun, yakinlah bahawa pihak terbabit tentu masih menyusun strategi bagi memburukkan Daim dan Anwar supaya mereka terus bertelingkah sesama sendiri.

Kalau prasangka buruk tidak dapat dilakukan secara serius dalam kalangan pengundi, ada kemungkinan Anwar boleh menang mudah. Bagi calon-calon lain yang bertanding, jangan cepat mengaku kalah atau berputus asa.

Teruskanlah berkempen kerana hanya para pengundi sahaja yang dapat menentukan siapa bakal wakil rakyat Parlimen Port Dickson.

ABD. RAZAK OSMAN

Sungai Petani, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini