PETALING JAYA – Pihak polis berjaya memberkas seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang disyaki terbabit dengan kes tembakan di Persiaran Tropicana, Kota Damansara di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, lelaki tersebut ditahan semalam pada pukul 7 malam di Tropicana Indah di sini.
“Suspek ditahan untuk membantu siasatan polis berkenaan kes seorang lelaki yang cedera di perut akibat ditembak oleh individu yang tidak dikenali.
Berita berkaitan:
“Suspek telah direman selama empat hari bermula hari ini (semalam) manakala mangsa yang cedera itu masih tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan seorang lelaki cedera di perut akibat ditembak individu tidak dikenali selepas keluar dari kedai serbaneka untuk membeli rokok di Persiaran Tropicana, Kota Damansara di sini semalam.
Memetik Mohd. Zani, mangsa telah ditembak pada bahagian perut oleh seorang suspek lelaki berkulit cerah yang memakai baju berwarna hitam dan putih.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh berhubung dengan Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.
Kes disiasat di bawak Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – K! ONLINE











