KUALA LUMPUR 2 Okt. – Mana-mana ahli Parlimen boleh melepaskan jawatan mereka dengan memberikan surat yang ditandatangani sendiri kepada Speaker Dewan Rakyat (bagi Ahli Dewan Rakyat) atau Speaker Dewan Negara (bagi Ahli Dewan Negara).
Berdasarkan peruntukan di bawah Artikel 51 Perlembagaan Persekutuan itu juga, Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan seorang pengundi berdaftar di Parlimen Port Dickson, Rosmadi Mohd. Kassim untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar peletakan jawatan Datuk Danyal Balagopal Abdullah sebagai ahli Parlimen.
Artikel 51 menyatakan: Seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen boleh melepaskan keahliannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan, jika dia seorang ahli Dewan Negara, kepada Yang Dipertua Dewan Negara, atau jika dia seorang ahli Dewan Rakyat, kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Ini bermakna, mana-mana ahli Parlimen boleh melepaskan jawatan mereka dengan memberikan surat yang ditandatangani sendiri kepada Speaker sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Peguam Ranjit Singh yang mewakili Danyal Balagopal memberitahu pemberita, Hakim Datuk Nordin Hassan dalam keputusan yang dibuat di kamar hakim menyatakan, permohonan Rosmadi selaku pihak pemohon tiada kes yang perlu dihujahkan memandangkan Artikel 51 telah dengan jelas membenarkan ahli Parlimen meletakkan jawatan.
Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dinamakan sebagai pihak responden berkata, Danyal Balagopal telah menyatakan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen dan mengosongkan kerusi tersebut secara sukarela.
Danyal Balagopal bertindak demikian bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi ahli Parlimen, seterusnya sebagai Perdana Menteri kelapan.
Pada 27 September lalu, Rosmadi memfailkan permohonan tersebut selepas berasa tertipu dengan tindakan Danyal Balagopal yang disifatkan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berperlembagaan yang diamalkan.
Tindakan Danyal Balagopal itu juga bertentangan dengan kehendak pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepadanya sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pada PRU-14, Danyal Balagopal memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.










