WASHINGTON 23 Okt. – Dunia bakal menyaksikan berlakunya perlumbaan senjata jika Amerika Syarikat (AS) bertindak menarik diri daripada Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF), selain Pentagon diberikan pilihan untuk mengawal kebangkitan China dalam menghasilkan sistem peluru berpandunya.
Pakar mengakui bahawa tindakan Amerika itu boleh meningkatkan ketegangan di rantau Asia Pasifik.
Pegawai-pegawai Pentagon sebelum ini mendakwa sejak bertahun-tahun lamanya kekuatan ketenteraan Washington terus dilemahkan oleh pembangunan senjata secara pesat oleh China termasuk sistem peluru berpandu darat yang canggih.
Bekas pegawai Pentagon, Dan Blumenthal berkata, dengan bertindak keluar daripada perjanjian tersebut, ia secara tidak langsung memberi jalan kepada AS untuk menempatkan peluru berpandu konvensional yang mudah untuk disembunyikan di beberapa tempat seperti Guam dan Jepun.
Tindakan itu akan menyukarkan China untuk melancarkan serangan konvensional pertama terhadap kapal perang dan pangkalan tentera AS di rantau ini, selain memaksa Beijing terjerumus ke dalam perlumbaan senjata yang menelan kos tinggi kerana perlu menghasilkan sistem pertahanan peluru berpandu yang lebih canggih.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini menuduh Rusia mencabul perjanjian INF, tetapi pada masa sama beliau juga mendakwa China yang merupakan bukan anggota INF giat membangunkan sistem senjata berbahaya.
Antara senjata China yang menjadi kebimbangan AS termasuk peluru berpandu jarak sederhana DF-26 (IRBM) yang mampu mengena sasaran sejauh 4,000 kilometer dan didakwa Pentagon mampu mengancam keselamatan negara ini.
Dalam pada itu, Rusia menegaskan bahawa pihaknya bersedia mengimbangi kekuatan ketenteraan dengan AS sekiranya Trump terus berkeras untuk menarik diri daripada perjanjian INF dan mula membangunkan peluru berpandu baharu.
Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, John Bolton dijangka mengadakan perbincangan mengenai rancangan Trump untuk menarik diri daripada perjanjian tersebut dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, hari ini.
Sementara itu, bekas Ahli Kongres AS, Ron Paul berkata, Washington kini sudah mempunyai banyak dan pelbagai jenis senjata serta tidak perlu menghasilkan senjata baharu.
Beliau percaya bahawa keputusan Amerika untuk keluar daripada penjanjian tersebut tidak menjejaskan usaha memperkasakan tahap keselamatan di negara ini.
“Jika AS terus bertegas untuk keluar daripada perjanjian tersebut, hal itu bukanlah kerana negara ini perlukan lebih banyak senjata,” katanya seperti yang dipetik RT News. – AFP/REUTERS










