Perlis bukan pusat melahirkan eksterimis agama - Utusan Malaysia

Perlis bukan pusat melahirkan eksterimis agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menafikan dengan nada tegas, negeri yang terkenal dengan ikon mempelam harumanis itu merupakan pusat bagi melahirkan ekstremis agama.

Katanya, negeri yang mempunyai kira-kira 180,000 penduduk itu hanya menjadi transit kepada individu-individu terlibat yang mampu mencetuskan perbezaan ideologi, agama, konflik, pertelingkahan, permusuhan dan lebih besar ancaman keselamatan yang serius.

“Mungkin Perlis yang berdekatan dengan sempadan negara lain yang menyebabkan kumpulan tertentu ini menjadikan negeri ini sebagai transit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Situasi sama turut berlaku di negeri lain yang berdekatan dengan sempadan.

“Cuma mereka ditangkap di sini (Perlis) namun bukan semuanya merupakan rakyat negeri ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Perlis di Dewan Warisan di sini hari ini.

Akhbar Kosmo! melaporkan pada 6 Oktober lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dipetik sebagai berkata, polis berjaya menahan lapan lelaki yang mempunyai kaitan dengan sebuah pusat pembelajaran di Perlis pada bulan lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas.

Dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor itu, seramai tujuh warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan.

Mohamad Fuzi berkata, kesemua suspek yang ditahan mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis sama ada sebagai pelajar, bekas tenaga pengajar juga bekas pelajar.

“Penahanan dibuat selepas menerima maklumat risikan mengenai adanya kumpulan pengganas berpangkalan di Yemen yang merancang mewujudkan pusat pembelajaran di Asia Tenggara bagi mempromosi kegiatan ekstremis Salafi Jihadi.

“Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai hubungan dengan madrasah di Dammaj, Yemen yang dipelopori Sheikh Muqbil Al Wadi, salah seorang cendekiawan Salafi Jihadi.

“Madrasah itu mengikut pembelajaran Salafi Jihadi yang membenarkan pembunuhan umat Islam dan bukan Islam yang enggan mengikut cara mereka,” kata Fuzi dalam satu kenyataan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini