SEBANYAK 2,000 keping tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 antara Terengganu Football Club I (TFC I) dan Perak yang dijual di kaunter C, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam habis dalam masa tidak sampai satu jam.
Para penyokong dikatakan beratur sejak pukul 6 pagi untuk mendapatkan tiket dan keadaan menjadi tidak terkawal sejurus kaunter jualan dibuka pada pukul 10.30 pagi.
Tinjauan Kosmo! mendapati ,penyokong mula berasak-asak sehingga berlaku insiden tolak menolak antara satu sama lain ketika cuba mendapatkan tiket di kaunter.
Suasana bertukar menjadi huru-hara selepas beberapa penyokong terjatuh dan pengsan termasuk ada yang terkena serangan sawan.
Beberapa penyokong yang pengsan dipercayai akibat dehidrasi kemudiannya dibantu orang awam di lokasi sebelum menghubungi pihak hospital.
Kosmo! difahamkan, tiket perlawanan habis terjual pada pukul 11.30 pagi, namun lebih 100 penyokong masih enggan berganjak walaupun diminta untuk bersurai oleh anggota polis.
Dalam pada itu, rata-rata penyokong turut melahirkan rasa kecewa terhadap pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kerana usaha mereka beratur selama berjam-jam untuk mendapatkan tiket perlawanan tidak berhasil.
Menurut seorang penyokong, Muhd. Hanif Mohd. Ghazali, 21, dia mula beratur bersama beberapa rakan sejak pukul 8 pagi untuk mendapatkan tiket perlawanan, namun terpaksa pulang dengan tangan kosong.
“Sebagai peminat sukan bola sepak sudah semestinya saya berasa kecewa kerana tidak dapat menyaksikan perlawanan akhir secara langsung di Stadium Shah Alam, Selangor,” katanya.
Seorang lagi penyokong, Afzarudin Alias, 25, berkata, para penyokong menanti selama tujuh tahun untuk melihat skuad Penyu kembali beraksi di pentas final, namun terpaksa berputih mata ekoran kehabisan tiket.
Kali terakhir TFC I yang dahulunya dikenali sebagai Terengganu menjulang Piala Malaysia pada tahun 2001 apabila menewaskan Perak 2-1 pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.










