Penggera atasi kencing malam - Utusan Malaysia

Penggera atasi kencing malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETUA orang dahulu, kalau hendak mengelak anak kencing malam atas tilam, letakkan kaki pepatung yang masih hidup pada pusat kanak-kanak itu seketika.

Sejauh mana kebenaran dan rasionalnya berbuat demikian tidak pula dapat dipastikan, namun semua itu sekadar petua.

Hakikatnya, dalam konteks perubatan, gangguan kencing malam atau Enuresis bukanlah satu masalah, sebaliknya ia satu proses yang berlaku ketika anak-anak sedang membesar, kerana proses belajar untuk kencing akan terjadi ketika usia dua tahun ke atas.

Kencing malam adalah satu keadaan yang mana kanak-kanak kencing tanpa disedari semasa tidur dan bukan perkara yang harus dibimbangkan.

Menurut Pakar Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Pensyarah Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Farin Masra, keadaan kanak-kanak yang kencing malam tanpa sedar itu lazimnya akan berhenti berlaku selari dengan peningkatan usia mereka.

“Proses untuk belajar kencing ini berlaku apabila mereka sudah boleh bercakap. Ketika itu, ibu bapa juga perlu mengambil peluang untuk mengajar mereka menggunakan tandas, namun apabila waktu malam sering berlaku Enuresis, yang mana kanak-kanak itu kencing tanpa sedar.

“Keadaan ini adalah normal buat kanak-kanak, namun akan menjadi masalah apabila mereka sudah berusia enam tahun ke atas kerana sudah mempunyai perasaan malu dengan keadaan itu, selain penerimaan ibu bapa mula berbeza berbanding ketika mereka masih kecil,” katanya.

Dr. Farim berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan keadaan berkenaan berlaku antaranya, fungsi saraf tunjang masih belum matang, iaitu proses membuang air kecil melibatkan penghantaran signal daripada pundi kencing ke otak.

Selain itu, tambah beliau, pundi kencing kecil dan tidak dapat menampung isi padu air kencing, selain belum pandai mengawal pundi kencing sebagaimana orang dewasa, terutama pada waktu tidur atau malam.

Faktor genetik atau keturunan, iaitu ada ahli keluarga yang pernah mengalami gangguan kencing malam, juga menjadi punca masalah tersebut.

Faktor lain, seperti mengalami kurang penghasilan hormon yang dipanggil vasopressin semasa tidur, yang mampu mengurangkan penghasilan air kencing di waktu malam.

Kanak-kanak tidur terlalu nyenyak (deep sleep) juga menjadi antara punca mereka kencing malam, selain masalah perubatan seperti menghidap kencing kotor, jangkitan saluran kencing dan kencing manis.

Bercakap soal rawatan, jelas Dr. Farin, gangguan kencing malam lebih mudah diatasi jika anak dan ibu bapa bersedia untuk menghadapi keadaan berkenaan dengan bersikap lebih positif.

Dalam hal berkaitan, ibu bapa tidak sepatutnya memarahi anak-anak yang kencing malam, kerana akan menyebabkan mereka berasa tertekan apatah lagi keadaan itu berlaku tanpa sedar.

“Setiap kali terkencing, jangan salahkan mereka. Beri tahu pada mereka, apa yang terjadi di luar kawalan dan perlu berusaha untuk mengelakkannya.

“Ibu bapa juga jangan malukan anak-anak di depan kawan-kawan mereka dengan mengatakan ‘sudah besar pun kencing atas tilam lagi’. Ini kerana, ia memberi kesan emosi yang tidak baik kepada anak-anak.

“Galakkan anak-anak kencing dan kurangkan pengambilan air sebelum tidur, selain mudahkan anak untuk ke tandas pada waktu malam dengan memasang lampu agar mereka tidak takut,” katanya.

Lazimnya, gangguan kencing malam akan pulih sebaik kanak-kanak itu semakin besar, namun jika masih berlaku, ibu bapa boleh mendapatkan alternatif dengan membawa kanak-kanak berjumpa dengan doktor.

Terdapat tiga kaedah rawatan yang sering dicadangkan oleh doktor, iaitu mempunyai pengetahuan am tentang kencing malam, terapi tingkah laku dan menggunakan ubatan.

“Ibu bapa harus faham bahawa kencing malam yang berlaku adalah di luar kawalan anak-anak, jadi mereka tidak boleh dipersalah dan dimarahi.

“Penggunaan terapi tingkah laku pula adalah dengan memberi semangat kepada anak-anak berkenaan jika mereka berjaya untuk tidak kencing malam, misalnya boleh memberi penghargaan seperti menggunakan sistem ganjaran carta pemberian bintang (star chart). Jika dia tidak kencing, tampal satu bintang pada carta mereka, jadi mereka akan rasa seronok dan cuba berusaha untuk tidak kencing malam.

“Selain itu, boleh juga menggunakan sistem penggera yang mana sejenis alat iaitu penggera yang berbunyi atau bergetar dipasang pada bahagian dalam seluar dalam anak. Penggera ini akan mengesan air kencing pada titisan pertama dan sensor menghantar signal, seterusnya alat akan menghasilkan bunyi atau getaran.

“Penggunaan penggera itu juga akan membantu melatih anak untuk kenal pasti dan sedar apabila pundi kencing penuh dan perlu ke tandas.

“Jika terapi itu tidak berjaya, lazimnya doktor akan memberikan sejenis ubat, iaitu Desmopressin, sejenis hormon ADH sintetik yang berfungsi untuk mengurangkan penghasilan air kencing,” katanya, yang turut mencadangkan penggunaan jam loceng biasa bagi menetapkan masa anak-anak perlu ke tandas bagi mengelakkan pundi kencing penuh.

INFO

  • Kebiasaan kanak-kanak mula belajar buang air kecil di bilik air di antara umur dua hingga empat tahun.
  • Daripada jumlah itu, 20 peratus kanak-kanak berusia lima tahun masih kencing malam, kanak-kanak tujuh tahun (10 peratus), kanak-kanak 10 tahun (lima peratus) dan remaja usia 15 tahun (satu hingga dua peratus ).
  • Di Malaysia, berdasarkan kajian di kawasan Lembah Klang , enam daripada 100 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun mengalami kencing malam
  • Kanak-kanak lelaki mengalami Enuresis dua kali ganda lebih daripada kanak-kanak perempuan

Langkah rawatan lain

  • Galakkan anak kencing pada waktu siang dengan kerap. Empat hingga tujuh kali sehari
  • Bawa ke tandas empat jam sekali
  • Elakkan memberi minuman banyak gula atau kafein
  • Galakkan minum air banyak pada siang hari dan kurangkan pada waktu malam. 40 peratus minum waktu siang dan tengah hari dan 20 peratus minum petang dan malam.
  • Lapik tilam dengan alas kalis air
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN