Penduduk rayu isu rumah diberi perhatian - Utusan Malaysia

Penduduk rayu isu rumah diberi perhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPONG 8 Okt. – Lebih 3,000 penduduk Jinjang Selatan Tambahan di sini meminta kerajaan Pakatan Harapan menyelesaikan isu berkaitan perumahan mereka yang berlarutan sejak tiga tahun.

Wakil penduduk, K. Selvakumar berkata, rayuan itu dibuat kerana tidak mahu mereka menerima nasib sama dengan penduduk yang telah diusir sebelum ini tanpa mendapat pampasan setimpal.

Menurutnya, penduduk telah menerima notis pengusiran da­ripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mereka mengosongkan kawasan itu sebelum 24 Oktober bagi tujuan pembangunan, namun sehingga kini tiada penempatan baharu disediakan.

“Sebanyak 137 daripada 525 buah rumah telah dirobohkan dan kami merupakan baki daripada jumlah tersebut.

“Pengusiran penduduk yang dilakukan kerajaan terdahulu sejak 2015 itu adalah tindakan tidak berperikemanusiaan.

“Sebelum ini DBKL menjanjikan unit kondominium dan pangsapuri 25 tingkat yang dibina sebagai rumah ganti namun projek itu tidak dilaksanakan sehingga hari ini,” katanya selepas me­nyerahkan memorandum ban­tahan perobohan pe­nempatan itu kepada wakil Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng di sini.

Dalam masa sama, Selvakumar turut melahirkan rasa terkilan kerana sehingga ke hari ini pihaknya gagal bertemu de­ngan Lip Eng yang diharap dapat membantu menyelesaikan masalah mereka.

“Kami sangat terkilan apabila masalah ini dibiarkan berterusan dan tidak diambil peduli oleh pemimpin setempat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN