LONDON – Institut Jantung Negara Holdings Sdn Bhd (IJN) dijangka memulakan pembinaan pusat jantung keduanya di Johor Bahru tahun depan yang dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohd. Azhari Yakub.
Beliau berkata, hospital milik kerajaan itu telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB) tahun lepas untuk membina hospital tersebut bagi memenuhi permintaan rawatan kardiak di wilayah selatan negara dan negara jiran, iaitu Singapura dan Batam, Indonesia.
Hospital yang akan dibina di Taman Perling, Johor itu akan mempunyai 150 katil dan menyediakan perkhidmatan rawatan berkaitan jantung dan kardiologi kepada 20 hingga 30 pesakit.
Taman Perling terletak kira-kira 20 minit pemanduan dari Johor Bahru melalui Lebuh Raya Lintasan Kedua.
“Kami memainkan peranan utama dalam pelancongan perubatan khususnya rawatan kardiologi dan kardiak di Malaysia dan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia menamakan IJN sebagai hospital utama untuk pembedahan kardiologi dan kardiak..jadi ia mempromosikan IJN ke seluruh dunia,” katanya kepada pemberita semasa lawatannya ke London, di sini, hari ini. – Bernama









