DALAM konteks negara bangsa dan dunia moden yang bersistemkan demokrasi hari ini, wacana segar mengenai Fiqh al-Muwatonah atau Fikah Kewarganegaraan wajar diangkat dan didiskusikan secara menyeluruh.
Fiqh al-Muwatonah adalah sebahagian daripada Fiqh Siyasah yang terbuka kepada ijtihad dan ruang untuk berwacana. Hubungan sesama warganegara perlu diberikan dimensi baharu yang lebih segar khususnya bagi membendung fahaman bersifat radikal dan ghuluw (melampaui batas) yang akhirnya mencetuskan permasalahan dan konflik.
Fiqh al-Muwatonah mengangkat tema nilai kemanusiaan yang perlu ada pada setiap individu dalam sesebuah negara.
PERUBAHAN DUNIA
Sesungguhnya dunia pada hari ini berada dalam era perubahan yang penuh dengan cabaran.
Pada era pascakemodenan, abad ke-21 bakal menyaksikan dunia akan lebih beragama dan sekularisme akan mula luntur. Situasi era ini kita akan melihat bentuk masyarakat yang sentiasa menuntut kesamarataan sebagai hak asasi manusia.
Pada era pascakapitalisme, modal dan buruh bukan lagi asas utama penciptaan kekayaan tetapi ilmu pengetahuan adalah ‘basis of wealth’ (asas kekayaan).
Pada era pascaindustri, sektor perkhidmatan dan teknologi maklumat mencipta lebih banyak kekayaan berbanding sektor pembuatan.
Pada era pasca-Islamisme, kita melihat perkembangan generasi baharu kebangkitan Islam mendepani realiti dalam kerangka sistem demokrasi.
Dalam konteks politik hari ini, kita sebenarnya berada dalam era dinamakan sebagai pascakebenaran yang melihat kebenaran itu sesuatu yang bersifat relatif.
Dalam erti kata lain, dunia hari ini boleh juga dikatakan berada dalam era pascanormal, yang mana banyak perkara luar jangkaan dan kadangkala sukar untuk dirasionalkan berlaku dalam masyarakat.
Oleh itu, dalam era ini yang menyaksikan dunia berubah dengan begitu pantas, kita perlu bersedia dengan ilmu pengetahuan dan hikmah agar boleh terus relevan dan dapat mendepani cabaran hari ini serta masa depan.
Hubungan individu dan negara termasuk hak serta tanggungjawab seorang warganegara perlu diberikan perhatian sambil meraikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.
SAHIFAH MADINAH
Dalam konteks dunia masa kini seiring dengan perubahan landskap politik tanah air, konsep Fiqh al-Muwatonah seharusnya difahami dengan makna lebih luas dan progresif. Dalam ruang demokrasi di bawah ruang lingkup Islam, dasar dan tasawwur (pandangan hidup Islam) mengenai hubungan sesama warganegara dan bukan Islam sama ada di negara majoriti Muslim dan juga di mana Muslim adalah minoriti perlu diberikan perhatian.
Konsep al-Ukhuwah al-Islamiyah (persaudaraan sesama Muslim), al-Ukhuwat al-Wataniyyah (persaudaraan sesama warganegara) dan al-Ukhuwat al-Insaniyyah (persaudaraan sesama manusia) atau al-Ukhuwah al-Basyariah (persaudaraan sesama manusia) perlu dijadikan tema perbincangan dan diberikan ruang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan yang lebih segar dan berkesan khususnya dalam mengolah semula konsep ukhuwah dan hubungan semasa Muslim dan bukan Muslim.
Asas Fiqh al-Muwatonah ini sebenarnya sudah pun terukir kukuh dalam Sahifah Madinah yang dimeterikan pada tahun pertama Hijrah bersamaan 622 Masihi dengan 43 Fasal, yang mana 23 fasal membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin. Bakinya membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam.
Mungkin seiring dengan roh Piagam Madinah, dicadangkan kepada pihak kementerian dan kerajaan negeri untuk menganjurkan Sambutan Khas 1440 Tahun Sahifah Madinah pada peringkat negeri dan kebangsaan dengan mengangkat tema Rahmatan Lil Alamin.
Ini juga boleh dijadikan asas dan kerangka utama model pendekatan Pakatan Harapan dalam membina Malaysia Baharu yang lebih gemilang.
Jika di Barat, mereka telah membuat Sambutan Magna Carta 1215 secara besar-besaran yang kini berumur 803 tahun, umat Islam sepatutnya lebih berbangga dengan Sambutan Sahifah Madinah 1440 tahun yang mendahului zaman.
Dengan memahami teks dan konteks serta menghayati dinamika Fiqh al-Muwatonah, Malaysia sebenarnya berupaya untuk menjadi model negara yang boleh dicontohi negara lain di dunia. Malahan, dengan pencapaian politik terbaharu melibatkan perubahan pemerintah secara aman menerusi tahaluf siyasi (persefahaman politik)yang dinamik, Malaysia sepatutnya sudah bersedia untuk mengeksport dan berkongsi formula ini, sekali gus tidak lagi bergantung dengan sumber rujukan serta pengalaman negara luar.
Walaupun diakui wujudnya realiti kontekstual yang berbeza, mungkin tidak keterlaluan dikatakan bahawa sudah sampai masanya dunia Arab dan negara-negara lain juga bersedia dan mula mempelajari ‘Fiqh Siyasah Manhaj Malaysia’.











