KUALA KANGSAR – Pemandu treler yang menyebabkan kematian lima individu termasuk seorang bayi di Kilometer 255.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora pada Sabtu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah.
Tertuduh, Mohd. Zaidi Di (gambar kecil), 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noorhidayah Mohd. Saad.
Mohd. Zaidi didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga gagal mengawal kenderaannya lalu menyebabkan kematian lima individu dalam kemalangan pada pukul 11.47 pagi, 6 Oktober lalu.
Mereka yang terbunuh ialah dua beranak iaitu Yew Poi Shy, 37, dan anak lelakinya, Yew Yi Chen, 1. Tiga lagi mangsa lain ialah Teo Wee Tatt, 46; Shaw Swee Me, 42, dan Lee Len Ying, 60.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan.











