Peluang kedua Dr. Mahathir tunaikan MA63 - Utusan Malaysia

Peluang kedua Dr. Mahathir tunaikan MA63

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR 12 Okt. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta menunaikan segera hak Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Semenanjung kerana perkara itu telah termaktub dalam Perlembagaan sejak penubuhan Malaysia pada 1963.

Presiden Parti Solidariti Tanahairku (Star), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berkata, Dr. Mahathir telah gagal melaksanakan perkara itu selama 22 tahun ketika pertama kali memimpin negara, justeru ini adalah peluang kedua untuk beliau memperbetulkan kesilapannya.

“Kita mesti ingat hak-hak Sabah dan Sarawak termaktub dalam Perlembagaan serta MA63 namun selama 55 tahun merdeka langsung tidak pernah dilaksanakan sedangkan 22 tahun daripadanya ialah di bawah pemerintahan Dr. Mahathir.

“Sebelum ini semasa kempen pilihan raya semua pihak berjanji mahu tunaikan MA63 tetapi bila sudah jadi kerajaan mereka semuanya diam sudah,” katanya ketika Program Penjelasan MA63 di sini hari ini.

Kelmarin, satu Jawatankuasa Kabinet MA63 telah ditubuhkan yang dipengerusikan Dr. Mahathir dan turut dianggotai beberapa pemimpin termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membincangkan pelaksanaan MA63.

Jeffrey berkata, walaupun jawatankuasa itu telah ditubuhkan, namun hakikatnya hak-hak berkenaan sudah termaktub di dalam Perlembagaan dan ketika MA63 ditandatangai, semua wakil yang menurunkan tandatangan iaitu dari Sabah, Sarawak serta Malaya telah berjanji untuk melaksanakannya.

Menurut Jeffrey, sebagai negeri yang kaya dengan hasil bumi, Sabah sepatutnya membangun dengan pesat tetapi hakikatnya pemimpin-pemimpin negeri seolah-olah terpaksa mengemis di Putrajaya untuk memohon peruntukan walaupun duit itu datang dari Sabah.

“Tidak perlu ada jawatankuasa itu, jawatankuasa ini kerana semuanya ada dalam Perlembagaan, salah satu hak Sabah ialah kewangan, bayangkanlah hasil bumi kita tidak kurang RM60 bilion setahun jika dikira 40 peratus Sabah patut dapat kira-kira RM24 bilion

“Tapi yang kita dapat cuma lebih RM20 juta setahun. Cukai import petroleum dikenakan 10 peratus, cukai eksport pun 10 peratus tetapi hasil cukai yang kita dapat kosong,” kata Jeffrey.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×